EDBM buka peluang untuk atlet negeri dan kebangsaan sambung pengajian di UUM
Gambar Nor Fatimah Hashim
SINTOK, 4 Mac 2026: Atlet negeri dan kebangsaan cemerlang yang mempunyai kelayakan akademik minima kini mendapat peluang melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron berkata, pihak universiti telah memberikan kebenaran untuk atlet cemerlang ini menyambung pengajian mereka melalui Kursus Executive Diploma Business Management (EDBM).

Menurutnya, hal ini selaras dengan salah satu perkara yang dinyatakan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh UUM bersama Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK).
“MoU tersebut menyatakan pihak terlibat akan mengkaji dan menawarkan peluang pendidikan kepada atlet di UUM di pelbagai peringkat pengajian dan mengambil kira fleksibiliti dan kesesuaian jadual latihan dan pertandingan tertakluk kepada peraturan-peraturan dan ketetapan UUM,” katanya.
Sehubungan itu, satu perbincangan berkaitan kemasukan dan sumber pembiayaan pengajian untuk mereka telah diadakan oleh pihak Pusat Sukan UUM dengan kerjasama pihak Akademi Golf Nasional (AGN).

Dr. Nasiruddin berkata, tujuan utama perbincangan ini adalah untuk mendapatkan jumlah atlet yang akan dicadangkan oleh MSNK untuk mengikuti program ini serta peluang-peluang sumber pembiayaan yang boleh mereka perolehi.
Perbincangan ini juga turut disertai oleh wakil daripada pihak Majlis Sukan Negeri Kedah, wakil daripada Seksyen Pembiayaan Pengajian Negeri Kedah (SPPNK), Dekan dan timbalan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Pengarah serta Timbalan Pengarah (Akademik) AGN, Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM serta wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP).
Diharapkan agar program ini akan mendapat sambutan daripada para atlet serta menjadi platform untuk mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sehingga kini, terdapat enam atlet golf telah mendaftar dan mengikuti kursus ini yang dijalankan di AGN. – Mohd Nizar Ahmad Padzi



