Hujan lebat tidak mematahkan semangat pemain bola sepak
SINTOK, 1 Jun 2025: Hujan lebat yang melanda Sintok semalam tidak menjadi penghalang buat pasukan bola sepak Inasis Yayasan Al – Bukhary (YAB) dan Inasis Bank Rakyat untuk meneruskan Perlawanan Akhir Acara Bola Sepak Kejohanan Piala Naib Canselor UUM 2025.
Pasukan Inasis Yayasan Al- Bukhary (YAB) menentang pasukan Inasis Bank Rakyat, berkesudahan dengan keputusan 1 – 0 di Stadium UUM, malam tadi.
Perlawanan bola sepak dalam hujan sering menjadi antara perlawanan yang paling mencabar. Hujan mengubah rentak permainan dan mencabar keupayaan fizikal serta mental para pemain, sekali gus mencetuskan semangat juang yang luar biasa.
Dua pasukan yang saling membalas serangan untuk menghasilkan gol ternyata amat dramatik apabila bermain dalam keadaan padang yang basah.
Meskipun padang basah dan licin akibat hujan yang berterusan, para pemain dilihat tetap bersemangat dan fokus beraksi di gelanggang yang mendapat sokongan dan sorakan meriah peminat.
Semangat dan disiplin pasukan sangat membanggakan. Walaupun berdepan cabaran cuaca, mereka tetap fokus dan terus berusaha memburu kejayaan.
Semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan ini jelas mencerminkan dedikasi mereka terhadap sukan bola sepak serta keazaman untuk mencapai kejayaan walaupun diuji dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut menyaksikan Perlawanan Akhir Acara Bola Sepak pada Majlis Penutup Kejohanan Piala Naib Canselor Universiti Utara Malaysia di Stadium UUM.
Terdahulu Naib Canselor diiringi Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron turun ke padang untuk bersalaman dengan pemain dan pegawai.
Tamat perlawanan, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Piala Naib Canselor Universiti Utara Malaysia 2025 kepada para pemenang.
Keputusan rasmi acara bola sepak menyaksikan Inasis MISC tempat ke-4, Inasis SME Bank tempat ke-3, Naib johan oleh Inasis Bank Rakyat dan Inasis YAB muncul juara pada malam itu membawa Piala Pusingan, medal serta wang tunai RM1,000.00.
Manakala bagi acara Bola Jaring Inasis Bank Rakyat tempat ke-4, Inasis YAB di tempat ke-3, naib johan Inasis MISC dan Inasis Sime Darby muncul juara.
Bola Tampar Lelaki, Inasis SME Bank tempat ke-4, Inasis Luar Kampus di tempat ke-3, naib johan Inasis YAB dan Inasis Bank Rakyat muncul juara.
Manakala bagi acara Bola Tampar Wanita pula Inasis Sime Darby tempat ke-4, Inasis Petronas di tempat ketiga, naib johan Inasis YAB dan TNB muncul juara.
Masing- masing membawa pulang wang tunai RM200 berserta medal bagi tempat ke-4, RM300 beserta medal bagi tempat ke-3, Naib Juara RM500 beserta medal dan juara membawa pulang Piala Pusingan , medal serta wang tunai RM1,000.00.