Pemain golf UUM cemerlang dalam Playing Ability Test (PAT) Siri 2/2025
Gambar AGNUUM
SINTOK, 17 April 2025: Pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf), Muhammad Azahari Amir dan Maisarah Saad masing-masing mengungguli kedudukan terbaik dalam Playing Ability Test (PAT) Siri 2/2025 yang berlangsung pada 11 dan 12 April lalu di Kelab Golf Sultan Sallehuddin (KGSS), Universiti Utara Malaysia (UUM).
PAT kali ini juga menawarkan mata World Amateur Golf Rankings (WAGR) secara tidak langsung menarik penyertaan daripada peserta luar termasuk seorang peserta daripada Singapura.
Muhammad Azahari Amir memulakan hari pertama dengan jumlah pukulan 69 dan terus mendominasi kejohanan dengan jumlah keseluruhan pukulan sebanyak 215 menewaskan Farez Azihan di tempat kedua, diikuti Harez Hezri.
Maisarah pula mendominasi kategori wanita dengan jumlah pukulan sebanyak 229 diikuti dengan Nurul Adawiyah dan Nurul Ameera Najwa.
PAT ini merupakan salah satu platform pencarian pemain untuk mewakili universiti dalam pelbagai kejohanan golf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Hadiah kategori wanita disampaikan oleh Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohamad Rizal Mohamad Radzi, manakala hadiah kategori lelaki disampaikan oleh Pengarah AGNUUM, Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman. – Nurul Farhana Abd Razak