Tech

Malaysia sedia teroka teknologi AI melalui kajian kes

ALOR SETAR: Kecerdasan Buatan (AI) sudah tidak asing lagi dalam kehidupan kita malah berkembang pesat di seluruh dunia yang memberi transformasi kepada industri, ekonomi, politik dan sosial.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Malaysia juga tidak ketinggalan dan bersedia untuk memperkasakan teknologi AI.

“Antaranya dengan menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“AI turut didiajar dalam beberapa subjek terutamanya Matematik, Sains serta Undang-undang, justeru seiring perkembangan teknologi semua pensyarah perlu belajar mendalami tentang AI,” katanya.

AI adalah keupayaan komputer dan mesin untuk menyelesaikan tugas yang biasa dilakukan oleh manusia. Dalam erti kata lain AI memudahkan hidup manusia, namun demikian di sebalik kecanggihan teknologi ini turut mengundang rasa bimbang terutamanya dari segi etika penggunaannya.

Beliau berkata, terdapat pro dan kontra tentang AI yang boleh memanipulasi sehingga boleh mengundang masalah yang lebih besar termasuk berita palsu di media sosial.

Menurutnya, Malaysia sentiasa menyokong penggunaan AI yang semakin meluas misalnya melalui ‘AI Untuk Rakyat’ di mana ia merupakan program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman orang ramai tentang AI, UUM sangat menyokong inisiatif ini.

Selain itu, katanya, UUM sedang berusaha ke arah visinya untuk menjadi Kampus Pintar menjelang 2026. Revolusi Perindustrian Kelima (IR 5.0) menyerlahkan integrasi manusia dengan teknologi termaju seperti AI, data besar, pengkomputeran awan, keselamatan siber dan IoT.

“Visi UUM termasuk meningkatkan infrastruktur, teknologi dan pengurusan untuk berubah menjadi universiti pintar menjelang 2026.

“Kami telah mula memasukkan AI ke dalam penulisan kes, beralih daripada kajian berasaskan teks tradisional kepada format video dinamik. Inovasi ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran tetapi juga sejajar dengan matlamat kami yang lebih luas untuk menerima kemajuan teknologi dalam pendidikan,” katanya ketika merasmikan International Case Study Congress (ICSC) 2024 anjuran Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK-UUM) di Hotel Raia, semalam.

PKKPK-UUM telah menghasilkan hampir 182 kes pengajaran tempatan dengan 144 boleh didapati dalam talian. PKKPK-UUM komited untuk mengintegrasikan AI ke dalam rangka kerja akademik.

Pada majlis sama, Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn. Bhd, Tan Sri Prof. Dr. Fng Ah Seng menyampaikan ucap tama bertajuk ‘Disruptive Innovation in Leadership’, seterusnya Pengarah Centre for Management Practice at Singapore Management University, Dr. Havovi Joshi bertajuk ‘Role of AI in Case Studies’.

PKKPK-UUM berhasrat untuk dinaik taraf kepada Pusat Kajian Kes Nasional (PKKN), tertakluk kepada pertimbangan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Pusat ini akan menumpukan perhatian kepada penghasilan kajian kes yang mempunyai kepentingan nasional. – Siti Fatimah Abdullah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button