Dua penyelidik UUM pamer produk EDAAS di Konvensyen Inovasi Sosial 2024
Bandar Baru Bangi, Selangor, 5 Januari 2024 – Dua penyelidik Universiti Utara Malaysia mempamerkan produk akuaponik yang dikenali sebagai “EZEE DIY AQUAPONICS AUTOMATION SYSTEM” (EDAAS) dalam Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2024.
Mereka adalah Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Prof. Madya Dr. Muhammad Mat Yusof dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS).
Mohamad Farizal berkata, EDAAS merupakan Sistem Akuaponik yang menggabungkan Akuakultur dan Hidroponik.
Jelasnya, EDAAS melibatkan penggunaan tangki fiber untuk sistem akuakultur dan menghasilkan produk ikan dan sayuran secara serentak. Sistem automasi membolehkan penghasilan makanan yang konsisten.
“Banyak kelebihan EDAAS antaranya menghasilkan makanan yang konsisten dengan menggunakan peranti dan teknologi IT di samping mengelakkan kebergantungan terhadap makanan yang diimport,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad berkata, Sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan dan menunjukkan minat untuk memilkinya.
“Sesiapa sahaja boleh memiliki EDAAS memandangkan harga mampu milik dan dapat membantu menjana ekonomi golongan B40. Penyelenggaraan yang minimal serta mengurangkan kebergantungan tenaga kerja yang ramai dalam penghasilan makanan.
Dalam pada itu beliau menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati kerana telah dijemput oleh Pihak Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk mempamerkan produk akuaponik.
Konvensyen KIS 2024 selama 3 hari itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh pihak YIM bagi mengiktiraf ‘social innovator’ seluruh Malaysia dalam penghasilan inovasi tempatan yang berasaskan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi.
Pelbagai aktiviti dirangka dalam Konvensyen Inovasi Sosial 2024 seperti pameran, forum, seminar ‘innovator social’, MyIS komuniti pitching, ‘48 hours innovate challenge’, rintis engagement, sesi perkongsian, bengkel technopreneurs, bengkel konsortium ‘innovator social’, majlis peluncuran dasar inovasi sosial dan malam apresiasi ‘networking innovator’ sosial.
Dalam konvensyen 2024 ini juga, ketua penyelidik EDAAS iaitu PM Ts Dr Farizal akan membentangkan produk EDAAS untuk permohonan geran Program Rintis Pengkomersilan Inovasi Sosial 2024. Program Rintis Pengkomersilan menawarkan geran maksimum berjumlah RM80,000. Diharapkan agar UUM dapat memperolehi geran rintis inovasi tersebut.