KD Lekiu tampil gagah di LIMA’25, bukti keupayaan pertahanan maritim negara
LANGKAWI, 22 Mei 2025: KD Lekiu dikenali sebagai salah sebuah kapal terbaik milik Malaysia.
Kapal ini bakal mencapai usia 26 tahun kelak, namun masih berfungsi dengan baik dan terus menjadi aset penting dalam pertahanan maritim negara.
Menurut Ketua Seksyen Sensor, Komunikasi dan Peperangan Elektronik KD Lekiu, BK TLR Lokman Nol Hakim bin Mohamed Saleh, penyertaan TLDM, khususnya KD Lekiu, dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
“Kami terlibat dalam formasi bersauh bersama kapal-kapal TLDM dari dalam dan luar negara untuk menerima tabik hormat daripada Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim.
“Selepas itu, kapal-kapal asing dibuka untuk kunjungan awam,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat demonstrasi pasukan khas laut di Awana Resort World serta pameran kerjaya dan informasi berkaitan TLDM.
KD Lekiu juga merupakan satu-satunya kapal milik Malaysia yang berlabuh di jeti dan dibuka kepada pengunjung. Kapal ini telah menyertai pelbagai latihan ketenteraan (exercise) di dalam dan luar negara, sekali gus membuktikan keupayaan serta tahap kesiapsiagaannya.
KD Lekiu ialah kapal kelas Frigate Lekiu yang dibina oleh Yarrow Shipbuilders dan ditauliahkan pada tahun 1999.
Pada masa itu, ia dilengkapi dengan teknologi dan sistem persenjataan paling canggih.
Kapal ini memiliki sistem persenjataan empat dimensi yang merangkumi: serangan dari permukaan ke bawah laut, permukaan ke permukaan, permukaan ke udara, dan peperangan elektronik.
Antara keistimewaan kapal ini ialah keupayaannya menembak peluru berpandu Exocet MM40, di mana dua peluru dapat dilepaskan serentak dalam satu tembakan.
Kru kapal ini terdiri daripada anggota yang terpilih dan berdisiplin tinggi, menjadikan KD Lekiu sebagai kapal contoh kepada kapal-kapal lain dalam TLDM.
Lokman Nol Hakim berkata, ramai anggota TLDM terpaksa meninggalkan anak dan isteri demi menjalankan tugas, selaras dengan cogan kata TLDM, ‘Bersedia Berkorban’.
“Antara pelayaran paling lama yang pernah kami lalui ialah tiga hingga empat bulan tanpa henti.
“Cabaran hidup sebagai tentera laut sangat besar, termasuk mengharungi lautan seperti Selat Inggeris, Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, yang geloranya jauh lebih ganas berbanding Laut China Selatan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa risiko bagi anggota tentera laut sangat tinggi kerana mereka beroperasi jauh dari daratan dan tidak mempunyai tempat perlindungan sekiranya berlaku serangan secara tiba-tiba.
Lokman Nol Hakim berharap TLDM dapat menambah baik sistem persenjataan sedia ada dan merancang penambahan aset seperti kapal LCS dan LMS.
Kapal-kapal yang ada kini tidak usang, tetapi sudah berusia.
“Sistemnya masih boleh berfungsi kerana kami sentiasa memastikan ia dalam keadaan bersedia.
“Walaupun sekarang kita tidak berada dalam keadaan perang, itu bukan bermakna tentera tidak bekerja. Kita mesti sentiasa bersedia kerana masa depan tidak dapat dijangka.
“Jika kita tidak jaga aset ini, bagaimana meriam mahu berfungsi apabila diperlukan?Apakah ia masih sah digunakan untuk berperang?” katanya. – Nurul Hana Ahmad