Tech

LIMA 2025 mercu tanda keunggulan maritim dan aeroangkasa antarabangsa

LANGKAWI, 21 Mei 2025: Aksi udara yang hebat penuh debaran menyaksikan kemunculan tiga pesawat F/A-18D Hornet dan tiga pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuka tirai acara antarabangsa yang cukup berprestij.

Menghangatkan lagi acara, pertunjukan formasi udara serta aerobatik melibatkan 25 aset udara  seperti enam pesawat latihan Pilatus PC-7 MK II, dua pesawat angkut A400M, tiga pesawat C130H dan lapan helikopter pelbagai jenis iaitu EC-725, AW-139 dan EC120B.

Ternyata Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition, (LIMA) 2025 yang berlangsung di ruang udara Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) semalam terus menjadi tumpuan dunia sebagai salah satu pameran pertahanan, maritim, dan aeroangkasa terbesar di rantau Asia Pasifik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan majlis perasmian pembukaan pameran diiringi Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dato’ Seri Fadillah  Yusof,  Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Bertemakan “Innovate Today, Thrive Tomorrow” yang menekankan kepentingan inovasi dalam meningkatkan daya saing industri, LIMA bertujuan untuk mencipta peluang baru bagi usahawan dan perniagaan serta menarik penyertaan lebih banyak dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kedua-dua sektor tersebut.

LIMA 2025 menghimpunkan ratusan peserta dari pelbagai negara termasuk pengeluar utama sistem persenjataan, pesawat pejuang, kapal perang, teknologi dron, dan inovasi aeroangkasa terkini.

Pameran ini menampilkan pertunjukan udara yang mendebarkan, demonstrasi laut secara langsung, dan pameran statik yang mengagumkan menjadikannya acara yang sangat dinanti-nantikan oleh pemain industri dan pemerhati antarabangsa.

Penganjuran LIMA merupakan kerjasama antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd1 bukan sekadar pameran ia adalah landasan strategik untuk rundingan perdagangan, pemeteraian perjanjian, serta dialog diplomatik antara negara sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan.

Pameran ini merupakan satu-satunya acara seumpamanya di dunia, menyediakan platform untuk pelbagai sektor termasuk pertahanan, komersial, dan industri, dengan fokus kepada inovasi dan teknologi terkini dalam bidang aeroangkasa dan maritim.

Pada majlis itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan beserta delegasi UUM turut hadir sebagai tanda sokongan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button