Menyokong penyelidikan, inovasi dan kelestarian ekonomi lautan
KUALA LUMPUR, 11 Mac 2025: Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah dari Pusat Pengajian Teknologi Maklumat dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih sebagai wakil akademia dalam satu program berprestij.
Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Akademi Sains Malaysia (ASM) menghimpunkan pegawai kerajaan, pemain industri, dan ahli akademik bagi membincangkan strategi pemerkasaan Ekonomi Biru Berasaskan Marin (MBEB) demi kelestarian sumber laut dan kesejahteraan ekonomi negara.
Sepanjang program ini, Dr. Siti Khadijah telah berkongsi hasil penyelidikannya yang berkaitan dengan teknologi rawatan air serta pengurusan sisa buangan plastik.
Beliau menekankan bahawa inovasi dalam rawatan air bersih serta kaedah kitar semula plastik yang lebih mampan adalah elemen kritikal dalam menyokong MBEB.
Teknologi ini bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti alam sekitar tetapi juga membuka peluang baharu dalam ekonomi hijau serta ekonomi sirkular selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi) dan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).
Antara manfaat utama program ini adalah membuka ruang kepada perkongsian ilmu, kolaborasi strategik serta pemerkasaan inovasi antara pihak akademia, kerajaan, dan industri.
Para peserta turut membincangkan potensi besar MBEB dalam menjana ekonomi negara menerusi eksploitasi sumber marin yang lestari, pengkomersialan produk berkaitan perairan, serta pembangunan teknologi canggih untuk pengurusan ekosistem laut yang lebih mampan sekali gus dapat memperkukuh daya saing Malaysia dalam arena ekonomi biru di peringkat global.
Hasil perbincangan dalam program ini turut mengenal pasti beberapa kelebihan dan kelemahan Malaysia dalam memajukan sektor MBEB.
Kekuatan utama adalah penyelidikan dan inovasi yang giat dijalankan oleh institusi akademik, selain potensi besar dalam membentuk kerjasama antara industri dan pusat penyelidikan.
Namun begitu, cabaran yang dihadapi termasuk kekurangan pusat kitar semula yang boleh diakses oleh masyarakat umum, sekali gus menghadkan usaha pemuliharaan alam sekitar serta penjanaan ekonomi berasaskan bahan kitar semula.
Secara keseluruhannya, program ini memainkan peranan penting dalam memartabatkan ekonomi lautan sebagai tunjang pertumbuhan negara.
Dengan komitmen berterusan daripada semua pihak, MBEB berpotensi menjadi salah satu sektor utama yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, kemakmuran ekonomi, dan kesejahteraan sosial, selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi pemimpin dalam ekonomi hijau dan biru di rantau ini.- STML