Tech

Penyelidik UUM dan KEDA Bincang Transformasi Digital Pertanian di Kedah

ALOR SETAR, 23 Mac 2025: Sekumpulan penyelidik mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk membincangkan strategi transformasi pertanian di Kedah ke arah pendigitalan pintar, khususnya melalui teknologi Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Mereka terdiri daripada penyelidik dari Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin, bersama Ts. Dr. Mohamed Ali Saip, Dr. Muhammad Syafiq Mohd Pozi dan Mohammad Hafiz Ismail dari UiTM Arau.

Perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Pengurus Bahagian Niaga Tani,  Suliman Mohd Noor, bersama para pegawai. Turut hadir ialah wakil industri pertanian, Mohd Faez Mohd Abu Bakar dari Suffhill Garden Rabbit Farm (SGRF), yang mengusahakan penternakan arnab daging serta agro-pelancongan berasaskan arnab.

Dr. Mohamad Farhan berkata, dalam sesi perbincangan, kumpulan penyelidik UUM memperkenalkan Rapid Rabbit ID, sebuah sistem pengecaman arnab berasaskan Deep Learning yang membolehkan penternak mengenal pasti arnab secara pantas hanya dengan menggunakan telefon bimbit.

“Sistem ini merupakan hasil kerjasama penyelidikan antara UUM, UiTM dan SGRF pada tahun 2025 sebagai langkah awal ke arah pendigitalan ladang arnab bagi menyokong agro-pelancongan di SGRF.

“Teknologi ini membuktikan keupayaan AI dalam mengelaskan objek dengan cepat dan tepat hanya menggunakan imej,” ujarnya.

Beliau juga menekankan bahawa pendekatan ini boleh diperluaskan untuk menyelesaikan cabaran pertanian yang lebih kompleks.

Sebagai respon, Sulaiman menyatakan bahawa pendekatan ini berpotensi besar dalam membantu petani di Malaysia, khususnya dalam pengesanan awal penyakit tanaman dan ternakan, yang dapat meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan kerugian.

“Usaha ini selari dengan strategi nasional dalam memperkukuhkan penerapan teknologi dalam sektor pertanian, sekaligus menyokong agenda pertanian pintar serta mempercepatkan integrasi teknologi dalam industri pertanian negara.

“Dengan inisiatif seperti ini, Kedah berpotensi menjadi peneraju dalam pertanian digital di Malaysia, sekali gus meningkatkan daya saing sektor pertanian tempatan di peringkat global,” katanya. – Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button