“Plate Number Adventure: Hacking The Prime Number” uji minda STEM pelajar
BUKIT KAYU HITAM, 20 Mac 2025: Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) merupakan pemboleh daya kepada sesebuah negara dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, peningkatan daya saing, serta pembangunan sosial yang inklusif dan mampan.
MOSTI giat melaksanakan pelbagai program pembudayaan STI yang melibatkan aktiviti pendidikan bukan formal di luar bilik darjah bagi memupuk dan meningkatkan minat terhadap STI di kalangan pelajar, termasuk golongan belia serta seluruh lapisan masyarakat.
Sebagai inisiatif terbaru, MOSTI telah merangka pelaksanaan Program STI 1003 Kitaran 1.5 sebagai inisiatif bersepadu yang bertujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif daripada saintis tempatan untuk menjalankan program pembudayaan STI berdasarkan kepada bidang kepakaran masing-masing secara berkala dan berterusan.
Kumpulan saintis dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad bersama ahli kumpulan iaitu Prof. Haslinda Ibrahim, Prof. Madya Dr. Suhaida Abdullah, Dr. Nor Hisham Haron dan Dr. Mohd. Azri Pawan Teh.
Mereka telah berjaya melaksanakan aktiviti Plate Number Adventure: Hacking The Prime Number melibatkan seramai 54 pelajar tahun enam di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga sebagai pengisian Program STI 1003 Kitaran 1.5.
Kebolehupayaan pelajar mengenalpasti jenis nombor iaitu nombor genap, ganjil dan nombor perdana diuji melalui aktiviti tersebut.
Keupayaan pelajar membaca dan memahami arahan juga diterapkan dalam aktiviti ini untuk membantu pelajar menyelesaikan aktiviti sehingga berjaya mendapatkan nombor plat kereta idaman mereka.
Melalui aktiviti ini, pelajar tahun enam dilihat masih kurang cekap menguasai sifir Matematik yang merupakan ilmu asas dalam Matematik.
Ramai pelajar juga menunjukkan kurang minat terhadap subjek Matematik dan merasakan Matematik adalah sukar. Justeru, program ini diharap dapat membuka minda pelajar dan menarik minat mereka untuk meminati Matematik khasnya dan STEM amnya.
Semoga usaha kecil para saintis SQS ini berjaya membawa perubahan positif kepada pelajar yang terlibat. – Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad