Revolusi AI dalam pengurusan ternakan dan penjagaan arnab
KUALA NERANG, 21 Januari 2025: Pernahkah anda bayangkan teknologi canggih untuk mengenali baka arnab dengan hanya mengambil gambar? Kini, impian itu menjadi kenyataan! Kenali Sistem Pengecaman Arnab yang menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengubah cara anda menguruskan ladang ternakan arnab dan penjagaan haiwan kesayangan anda!
Inovasi ini diketuai oleh sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin, Ts. Dr. Mohamed Ali Saip dan Dr. Muhammad Syafiq Mohd Pozi dari Pusat Pengajian Pengkomputeran, UUM, Mohammad Hafiz Ismail dari UiTM Kampus Arau serta Mohd Faez Mohd Abu Bakar dari Suffhill Garden Rabbit Farm.
Mohamad Farhan berkata, sistem ini direka untuk membolehkan penternak arnab dan peminat haiwan mengenal pasti baka arnab dengan lebih cepat dan tepat menggunakan telefon pintar sekali gus meningkatkan pengurusan ladang dan produktiviti.
“Teknologi ini adalah sebahagian daripada trend yang semakin berkembang dalam pertanian pintar, di mana alat AI digunakan untuk menjadikan amalan pertanian lebih efisien dan berasaskan data.
“Sistem ini merujuk kepada teknologi yang digunakan untuk mengenal pasti dan menganalisis ciri-ciri unik arnab, seperti bentuk tubuh, warna bulu, dan tingkah laku, melalui penggunaan perisian dan alat pengimejan,” katanya.
Ujarnya, projek yang dibiayai oleh Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK) dibangunkan untuk mengenalpasti pelbagai jenis baka arnab secara automatik melalui aplikasi telefon bimbit.
“Sistem ini direka untuk membantu penternak arnab dan peminat arnab mengenalpasti jenis baka arnab dengan pantas dan tepat hanya dengan mengambil gambar menggunakan telefon pintar mereka.
“Teknologi ini boleh digunakan dalam pelbagai bidang, dari penyelidikan biologi sehingga pengurusan ladang ternakan,” ujarnya.
Pemilik ladang arnab, Mohd Faez berkata, bagi penternak arnab sepertinya, mengenalpasti jenis baka arnab adalah penting untuk mengurus ladang mereka dengan lebih cekap.
“Secara tradisinya, pengecaman baka dilakukan secara manual melalui pemeriksaan visual arnab, yang memerlukan masa dan mudah berlaku kesilapan terutama sekali untuk ladang dengan bilangan arnab yang banyak.
“Kesilapan dalam mengenalpasti baka arnab boleh menyebabkan pengurusan pembiakan yang tidak efisien dan menjejaskan produktiviti, justeru aplikasi ini penting kepada penternak arnab untuk menyelesaikan masalah pengecaman baka secara manual,” katanya.
Untuk menyelesaikan masalah ini, Mohamed Ali berkata, para penyelidik telah membangunkan model pembelajaran mendalam (‘deep learning model’) yang boleh mengenalpasti jenis baka arnab daripada imej.
“Sistem ini direka agar mudah digunakan dan boleh diakses melalui telefon bimbit, menjadikan pengecaman baka arnab cepat dan mudah.
“Bagaimana Sistem Pengecaman Arnab Berfungsi? Teras kepada sistem ini ialah model AI MobileNetV2, yang dilatih untuk mengenalpasti pelbagai jenis baka arnab.
“Pada awalnya, model ini dilatih menggunakan set data gambar kucing dan anjing, kemudian diselaraskan dengan imej arnab untuk menjadikannya khusus dalam pengecaman baka arnab,” ujarnya.
Para penyelidik menguji sistem ini dengan set data yang mengandungi 132 imej arnab, dan model AI ini sangat tepat, 95% kejituan dalam mengenalpasti baka arnab sekali gus mengurangkan kesilapan yang sering berlaku dalam pengecaman manual.
Dengan menggunakan aplikasi telefon bimbit, pengguna hanya perlu mengambil gambar arnab, dan aplikasi tersebut akan segera memberikan maklumat tentang jenis baka, membantu penternak dan peminat arnab mendapatkan maklumat yang tepat dalam masa nyata.
Sistem ini membuktikan bagaimana teknologi canggih dapat membawa perubahan besar dalam cara kita menguruskan haiwan, menjalankan penyelidikan, dan meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian.