UUM – LZNK bantu asnaf usahakan 700 relung sawah
SINTOK, 12 Jun 2025: Sebanyak 13 projek penyelidikan bernilai RM355,000 berjaya dilaksanakan oleh 50 penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam tempoh 18 bulan mencerminkan komitmen tinggi universiti terhadap kecemerlangan akademik dan inovasi.
Ketua Penyelidik, Program Zon Pembangunan Ekonomi Ummah (ZPEU), Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berkata, penyelidikan bertajuk Program Pembangunan Ekonomi Ummah Sebagai Pencetus Transformasi Asnaf ini memfokuskan kepada pembangunan ekonomi golongan asnaf, atau B40 yang mempunyai kemahiran dalam pertanian padi.
Jelasnya, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerajui satu program yang dikenali sebagai ZPEU yang bermula di Yan pada 2021 kini meluas ke Alor Star, Kubang Pasu, Kuala Muda dan Sik.
Program ZPEU ini menerusi Projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SSBBA) telah diamanahkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFI) kepada LZNK yang menfokus kepada pembangunan sosio-ekonomi ‘Asnaf’. Keberkesanan sesuatu program menurut Islam adalah keberkesanan secara menyeluruh, syumul dan bermatlamatkan ‘al-falah’ untuk pembinaan ummah yang lebih bertamadun.
“Kajian ini menggariskan dua objektif utama iaitu untuk mendokumentasi, mengenalpasti dan menilai keberkesanan program Zon Pembangunan Ekonomi Ummah; serta menyelaras dan memantau Projek Penyelidikan ini,” katanya.
Matlamat dan misi utama LZNK dengan pelaksanaan Program ZPEU melalui SSBBA ini dapat membangun asnaf seterusnya penghasilan beras sendiri untuk kelestarian saraan asnaf.
“LZNK berjaya usahakan satu projek besar yang sangat bermanfaat melibatkan asnaf untuk mengusahakan 700 relung tanah bendang milik LZNK, bukan itu sahaja petani turut diberi ilmu pengurusan dan latihan intensif,” ujarnya.
Tambahnya, pelaksanaan projek SSBBA mampu meningkatkan hasil padi petani serta memperkasakan golongan asnaf dalam sektor agro-makanan.
“Kalau dulu mereka hanya usahakan 1-2 relung sahaja kini mereka mampu buat bendang antara 6 –10 relung sekali gus menjana pendapatan purata RM3,000 ke RM5,000 sebulan.
“Malah ada di antara mereka yang telah menyewa bendang orang lain untuk diusahakan berbekalkan pengalaman yang ditimba salam projek SSBBA dan LZNK berjaya mentransformasikan asnaf kepada muzakki (pembayar zakat),” ujarnya.
Selain itu katanya, Model ZPEU ini tercetus daripada ilham dan buah pandangan perbincangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, LZNK Dato’ Syeikh Zakaria Othman, dan Allahyarham Prof. Dr. Zakaria Abas, yang ketika itu berperanan sebagai Penyelidik Bersekutu, Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ).
Kaedah penyelidikan yang diaplikasikan dalam penyelidikan ini melibatkan kajian keperpustakaan, temubual bersama usahawantani, pihak berkepentingan, soal-selidik kepada usahawantani, pemerhatian, perbincangan bersama pakar bidang dan kumpulan berfokus serta latihan kepada usahawantani.
Hasil kajian ini secara umumnya menunjukkan impak yang besar kepada para peserta SSBBA LZNK secara langsung melalui kesan peningkatan pendapatan, perubahan hidup diri dan keluarga yang lebih baik, penghayatan rohani serta hubungan sosial yang lebih harmoni dengan masyarakat setempat dan pihak LZNK.
Penyelidikan ini juga berjaya mendokumenkan segala maklumat berkaitan Program ZPEU dalam bentuk buku, laporan penyelidikan, video dokumentari, artikel jurnal, model yang telah didaftarkan agar segala maklumat ini dapat dijadikan rujukan oleh semua pihak berkepentingan.
Sejajar dan selari dengan hala tuju memasyarakatkan universiti, model seumpama ini dapat dirujuk dan diadaptasi oleh pelbagai agensi awam serta pihak swasta. Mudah-mudahan membawa impak positif kepada terhasilnya sebuah ekosistem pembangunan sosio-ekonomi kelompok sasar khasnya, dan rakyat Malaysia yang mampan.