Merintis kolaborasi antarabangsa yang inovatif dengan Universitas Negeri Padang
Padang, 23 Januari 2025: Menyusuri keindahan bumi Sumatera Barat, khususnya Padang, Indonesia, perjalanan kali ini bertujuan memperkukuhkan kerjasama pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
Lebih daripada itu, misi ini bertujuan mempererat hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia, membuka peluang-peluang baru bagi kerjasama dan pertukaran budaya.
Delegasi yang terdiri daripada 18 ahli Majlis Profesor UUM (MPUUM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid telah berjaya dalam misi memperkukuhkan kerjasama pengantarabangsaan antara Malaysia dan Indonesia.
Lawatan ke Universitas Negeri Padang (UNP) ini dimulakan dengan perancangan yang teliti mengenai kerjasama sedia ada serta meneroka peluang kolaborasi baru antara UUM dan UNP. Program ini diuruskan oleh Jawatankuasa Modal Insan dan Kebajikan MPUUM.
Delegasi disambut meriah oleh Prof. Dr. Refnaldi, S.Pd., M.Litt., Wakil Rektor I dan Prof. Dr. rer. nat. Deski Beri, Wakil Rektor IV serta barisan pengurusan tertinggi UNP di Ruang Sidang Senat Lantai 4, Gedung Rectorate and Research Center UNP.
Majlis dimulakan dengan Pidato Sambutan oleh Wakil Rektor yang penuh makna serta sesi Pengenalan Profesor dari Fakulti UNP yang berprestij. Seterusnya, delegasi dihidangkan dengan tayangan video korporat UNP yang memperkenalkan profil terkini universiti tersebut dengan gaya yang dinamik.
Majlis disemarakkan lagi dengan pembentangan Program Penyelidikan dan Penerbitan terkini oleh UNP, yang memberikan pandangan mendalam tentang inisiatif-inisiatif penyelidikan yang sedang dijalankan.
Seterusnya, wakil MPUUM, Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib, memperkenalkan delegasi dari UUM. Acara diteruskan dengan sesi diskusi yang dinamik dan interaktif, dimoderasikan oleh Prof. Dr. Erni Masdupi, alumni UUM.
Diskusi ini menekankan beberapa aspek penting seperti peluang penyelidikan bersama, program mobiliti pelajar dan staf akademik, serta kolaborasi dalam program-program akademik. Setiap topik dibincangkan dengan mendalam, membuka jalan untuk kerjasama yang lebih erat dan berkesan antara UUM dan UNP.
Pertemuan ini membuka lembaran baru dalam peluang kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia. Ia juga menyoroti bagaimana UUM boleh mengambil manfaat daripada peluang ini untuk memperkukuhkan lagi misi pengantarabangsaan pendidikan tinggi di Indonesia.
Melalui inisiatif bersama dan kerjasama strategik, kedua-dua universiti dapat memperkayakan pengalaman akademik dan memajukan penyelidikan yang lebih inovatif.- Prof. Dr. Norhafezah Yusof.