Pelajar UUM raih kejayaan dalam 2nd ASSIBEF 2025 di Indonesia
BANDA ACEH, 1 Jun 2025: Dua orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih tempat dalam kalangan peserta terbaik dalam pertandingan antarabangsa yang dianjurkan sempena 2nd Aceh Summer School in Islamic Business, Economics, and Finance (ASSIBEF) 2025, yang berlangsung pada 19 hingga 23 Mei 2025 di Indonesia.
Program anjuran Fakulti Ekonomi dan Bisnis Islam (FEBI), Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh dengan Islamic Business School (IBS), UUM sebagai ‘co-organizer’, serta penglibatan institusi dari Thailand, Indonesia dan Malaysia.
Aida Najihah Khairulanam mencatat kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara dalam kategori Article Review dengan memperoleh markah tertinggi sebanyak 174 mata, mengatasi semua peserta lain.
Sementara itu, Muhammad Hadif Rosdi turut membanggakan universiti apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori Business Vlog dengan markah sebanyak 119 mata.
Kedua-dua pelajar tersebut kini berada di semester 4, mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal di bawah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM.
Penglibatan aktif pelajar dalam program ini adalah hasil sokongan berterusan IBS UUM dalam menyediakan platform antarabangsa yang memupuk daya saing, kemahiran komunikasi serta kebolehan analitikal yang tinggi dalam kalangan pelajar.
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kebolehan dan kecekapan pelajar UUM di peringkat global, malah berpotensi menjadi pemangkin semangat kepada rakan-rakan pelajar lain untuk terus mengasah bakat serta meningkatkan kompetensi diri dalam pelbagai bidang, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing, dan berketerampilan global.