Travel

Pensyarah IBS terlibat dalam semakan kurikulum program halal baharu di UIN Ar-Raniry

INDONESIA, 1 Jun 2025: Pensyarah dari Islamic Business School (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput oleh Fakulti Ekonomi dan Bisnis Islam (FEBI), Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh, sebagai penilai kurikulum bagi program baharu yang bakal ditawarkan iaitu Halal Industry Management.

Jemputan ini adalah sebahagian daripada usaha FEBI UIN Ar-Raniry dalam memastikan struktur kurikulum program baharu mereka menepati kehendak industri, perkembangan semasa dalam bidang halal, serta memenuhi keperluan penghasilan graduan yang kompeten, berdaya saing dan selari dengan piawaian antarabangsa.

Penglibatan pensyarah halal IBS ini turut disokong oleh pengalaman mereka dalam pembangunan dan pengurusan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal dengan Kepujian (Mod 3U1I) yang ditawarkan di IBS, UUM.

Program tersebut mengintegrasikan tiga tahun pengajian universiti dengan satu tahun latihan industri, sekali gus memberi nilai tambah dalam pemerkasaan graduan melalui pendedahan langsung kepada dunia pekerjaan sebenar.

Pengetahuan dan kepakaran dalam membangunkan kurikulum yang menekankan keseimbangan antara teori dan aplikasi praktikal telah membolehkan IBS memberikan sumbangan bermakna dalam proses penilaian kurikulum Halal Industry Management di FEBI, UIN Ar Raniry.

Program Halal Industry Management yang dirangka oleh FEBI turut menyasarkan tiga profil graduan utama: Junior Halal Practitioner, Junior Halal Business Entrepreneur dan Junior Halal Industry Supervisor. Peranan penilai dari IBS ini membantu memperkukuh kandungan kursus agar lebih relevan dan selari dengan keperluan semasa industri halal global.

Penglibatan ini juga mengukuhkan lagi hubungan strategik antara IBS UUM dan UIN Ar-Raniry dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan program halal pada peringkat serantau.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button