Travel

Profesor SQS kongsi kepakaran bidang sains kuantitatif di Algeria

ALGERIA, 5 Januari 2025 – Dalam usaha memperkukuhkan kerjasama akademik di peringkat antarabangsa, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima jemputan sebagai penceramah di Setif 1, University Ferhat Abbas, baru-baru ini.

Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim berkata, jemputan ini bertujuan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang sains kuantitatif serta meningkatkan hubungan akademik antara kedua-dua negara.

Selain menyampaikan ceramah, beliau memanfaatkan peluang ini dengan mengadakan perbincangan berkaitan bidang penyelidikan, pertukaran pelajar, dan program pasca siswazah.

Beliau juga bertemu dengan Rektor Setif 1 University Ferhat Abbas, Prof. Dr. El Hadi Latreche untuk berbincang mengenai kerjasama dan menyerahkan surat hasrat bagi menjalinkan hubungan strategik antara kedua-dua universiti.

“Kerjasama ini dijangka membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah UUM untuk menjalankan penyelidikan bersama, menghadiri persidangan antarabangsa, serta menikmati pengalaman budaya dan akademik di Algeria. Universiti di Algeria juga menunjukkan minat untuk menghantar pelajar mereka ke UUM bagi program pertukaran pelajar dan staf,” ujarnya.

SQS berharap inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha dalam menjadikan UUM sebagai institusi pendidikan tinggi yang cemerlang di peringkat global, sambil memperluas horizon ilmu pengetahuan dan inovasi tanpa sempadan – Noramalina Shamsudin.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button