SOC menjelajah Sukabumi timba pengalaman berharga
INDONESIA, 4 Mac 2025: Pusat pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya melaksanakan program mobiliti “SOC Menjelajah Sukabumi” di Universitas Muhammadiyah Sukabumi Indonesia (UMMI).
Program yang disertai 17 pelajar dan 6 pensyarah UUM, bertujuan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan khidmat masyarakat.
Delegasi UUM, yang diketuai oleh Dr. Hapini Awang, disambut mesra oleh pihak UMMI.
Program dimulakan dengan lawatan kampus yang memberikan gambaran mengenai kemudahan dan suasana akademik di UMMI, disusuli dengan sesi perkongsian mengenai potensi kerjasama strategik antara kedua-dua universiti.
Para peserta berpeluang meneroka kekayaan budaya dan keindahan alam semula jadi Sukabumi melalui lawatan ke Situgunung Suspension Bridge dan kebun strawberi, serta menyaksikan persembahan seni tradisional Wayang Sukuraga.
Aktiviti akademik turut menjadi tumpuan utama program ini. Antaranya termasuk Studium General yang disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nor Hazlyna Harun, yang berkongsi mengenai penggunaan AI dalam analisis data.
Seminar antarabangsa pula menampilkan pembentang dari UUM dan UMMI, termasuk Dr. Muhammad Syafiq Mohd Pozi dan Dadan Rahmat, yang membincangkan topik berkaitan aplikasi AI dalam pelbagai bidang.
Sesi Guest Lecturer International bertajuk “Advancing Food Security with GIS: Innovations in Agriculture and Aquaculture”, yang disampaikan oleh Gs. Dr. Nur Suhaili Mansor dan Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli Zolkipli, turut menarik perhatian.
Sesi “Sign-in Dosen Program Studi” memberi peluang kepada pensyarah dari kedua-dua universiti untuk bertukar pandangan dan merancang potensi kerjasama penyelidikan dan akademik.
Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli Zolkipli menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara UUM dan UMMI dalam memajukan pendidikan dan pertukaran budaya.
Ujarnya sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap tanggungjawab sosial, para peserta turut terlibat dalam aktiviti CSR di beberapa lokasi pelancongan terpilih.
Beliau berharap program “SOC Menjelajah Sukabumi” ini dapat menjadi platform untuk kerjasama yang lebih erat antara UUM dan UMMI pada masa hadapan, serta membuka peluang kepada inisiatif bersama dalam penyelidikan, inovasi, dan pembangunan komuniti.
Bismillah..
Alhamdulillah, senang sekali Univ. Muhammadiyah Sukabumi bisa kedatangan DAN melaksanakan program mobiliti “SOC Menjelajah Sukabumi” di Universitas Muhammadiyah Sukabumi Indonesia (UMMI).
Semoga kerjasama tetap berjalan dikemudian hari, dan MOu nya segera selesai.
Terima kasih SOC UUM.
Best regard.
Dadan Rahmat