Bengkel AI perkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran di SBM
SINTOK, 3 Mac 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Pengajaran dan Pembelajaran bertemakan Next-Gen Educators: Leveraging AI for Effective Higher Education di Bilik Mesyuarat Kedah, SBM.
Bengkel ini menampilkan Ts. Dr. Mathivannan a/l Jaganathan, pensyarah SBM, sebagai penceramah utama yang membincangkan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasakan pendidikan tinggi.
Dalam sesi perkongsian yang interaktif dan informatif, Dr. Mathivannan mengupas bagaimana AI dapat digunakan oleh tenaga pengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran, memperibadikan pengalaman pembelajaran pelajar, serta mengoptimumkan pengurusan akademik.
Beliau turut mengetengahkan pelbagai aplikasi AI yang boleh membantu pensyarah dalam merancang serta melaksanakan pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.
Bengkel ini turut membuka ruang perbincangan antara peserta dan penceramah mengenai cabaran dan peluang dalam penerapan AI dalam pendidikan tinggi selain didedahkan mengenai amalan terbaik dalam memanfaatkan AI secara beretika dan efektif, selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa dalam ekosistem akademik.
Bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan SBM dalam memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran, dengan menyesuaikan pendekatan pendidikan dengan teknologi canggih yang semakin berkembang.
Dengan wacana dan latihan seperti ini, diharapkan para pendidik dapat memanfaatkan AI secara optimum dalam pembelajaran dan pengajaran bagi melahirkan graduan yang lebih kompetitif dan berdaya saing. – SBM