General

Subjek Pendidikan dan Matematik julung kali tersenarai dalam QSWUR by Subject 2025

CI Norazlina Ahmad

SINTOK, 12 Mac 2025: Subjek Pendidikan dan Matematik, Universiti Utara Malaysia (UUM) buat julung kalinya berjaya tersenarai dalam QS World University Rankings (QSWUR) by Subjects 2025 dengan kedudukan 301-330 dan 501-600 dalam kenyataan yang diumumkan pada jam 6 petang ini (waktu tempatan).

Subjek UUM iaitu Perakaunan dan Kewangan berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok 151-200 terbaik dunia, manakala subjek Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris pula menunjukkan peningkatan yang membanggakan dengan berada dalam kelompok 251-300.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini membuktikan usaha berterusan UUM dalam memperkasakan bidang akademik dan penyelidikan.

Menurutnya, antara faktor yang membantu dalam kejayaan ini juga adalah hasil daripada memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian yang menyumbang kepada pertambahan rakan strategik dan konsistensi dalam bidang penerbitan.

“Selain itu, peningkatan dalam aktiviti penyelidikan berkualiti tinggi, penganjuran persidangan antarabangsa, serta program mobiliti akademik turut menyumbang kepada kedudukan yang lebih baik dalam penarafan ini,” katanya.

Edisi QS World University Rankings by Subjects 2025 kali ini menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 55 bidang khusus yang membentuk lima bidang utama dengan komponen penilaian adalah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi, penerbitan H-Index serta jaringan kolaborasi antarabangsa dalam penyelidikan.

Antara subjek lain yang tersenarai dalam QSWUR by Subject 2025 termasuklah Ekonomi dan Ekonometrik (251-300), Sosial Sains & Pengurusan (274), Pengajian Perniagaan dan Pengurusan (251-300), Kesenian & Kemanusiaan (501-550) dan Sains Komputer dan Sistem Maklumat (551-600).

Kejayaan ini menjadi bukti komitmen UUM dalam memastikan kecemerlangan akademik dan penyelidikan sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi terkemuka di peringkat antarabangsa.

Keputusan rasmi QS World University Rankings by Subject 2025 boleh dicapai melalui https://www.topuniversities.com/subject-rankings – Nur Liyana Noor Ismadee

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button