Campus

SMMTC PERKUKUH KERJASAMA ANTARABANGSA, DEDAH MAHASISWA KEPADA DUNIA PENYIARAN INDONESIA

Berita dan gambar oleh: Nur Damisha Husna binti Zuli Hendra

JAKARTA, INDONESIA – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Mercu Buana (UMB) memperkukuh kerjasama melalui program mobiliti tidak berkredit menerusi SMMTC Outbound Mobility Programme 2026 (SOLITY’26), yang memberi peluang kepada mahasiswa kedua-dua universiti bertukar pengalaman dan mengenali budaya masing-masing. Program anjuran Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) UUM itu berlangsung di Jakarta dari 8 hingga 16 November 2026 dan turut merangkumi lawatan industri ke DAAI TV.

Delegasi UUM disambut oleh Wakil Dekan Fakultas Ilmu Komunikasi (FIKOM) UMB, Dr. Melly Ridaryanthi, sempena pengisian selama tiga hari di universiti berkenaan. Kunjungan itu menandakan kerjasama mobiliti tanpa kredit kali kedua antara UUM dan UMB selepas program pertama pada 2023.

Lawatan ke DAAI TV memberi peluang kepada mahasiswa UUM mengenali industri penyiaran di Indonesia. Bagi mahasiswa SMMTC, kunjungan ke stesen televisyen itu memberi ruang untuk mengaitkan pembelajaran di bilik kuliah dengan amalan penyiaran dalam persekitaran media yang berbeza.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SMMTC, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad, berkata kunjungan semula ke UMB memberi peluang kepada kumpulan mahasiswa baharu untuk meneruskan hubungan yang terjalin sejak penganjuran pertama.

Dalam ucapannya di UMB, beliau menggalakkan mahasiswa UUM memanfaatkan tiga hari di universiti itu dengan berkenalan, bertanya soalan dan berkongsi pengalaman bersama rakan sebaya dari UMB. Interaksi tersebut membuka ruang kepada mahasiswa kedua-dua universiti untuk memahami persamaan dan perbezaan dalam kehidupan kampus di Malaysia dan Indonesia.

“Penganjuran SOLITY’26 seiring dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dalam memperluas pengalaman pembelajaran mahasiswa merentas institusi dan negara. Menerusi kerjasama dengan Universitas Mercu Buana, mahasiswa UUM berpeluang bertukar pengalaman dengan rakan sebaya di Indonesia, manakala lawatan ke DAAI TV memberi mereka pendedahan kepada industri penyiaran dalam konteks serantau,” katanya ketika memberikaan ucapan pembukaan di SOLITY’26 di UMB.

Dr. Mohd Zuwairi turut merakamkan penghargaan kepada pihak UMB atas sambutan yang diberikan serta kepada pensyarah dan wakil universiti yang membantu menjayakan pengisian sepanjang kunjungan tersebut.

SOLITY’26 turut melibatkan kerjasama dengan Universitas Negeri Jakarta (UNJ) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Tentatif program merangkumi penyertaan dalam ASEAN Youth Symposium di ibu pejabat ASEAN Jakarta yang memberi tumpuan kepada isu alam sekitar dan kelestarian.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button