Bengkel Hala Tuju Penyelidikan KPT buka tirai penyelidikan UUM 2025
Gambar RMC
SINTOK, 12 Januari 2025: Bengkel Hala Tuju Penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) menjadi pembuka tirai aktiviti penyelidikan di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk tahun 2025 berkenaan Dana Penyelidikan Fundamental KPT (DPF-KPT).
Bengkel disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Pengurusan Penyelidikan, Ts. Inv. Dr. Mohammad Abdullah telah memberi pendedahan kepada penyelidik UUM berkaitan dana penyelidikan yang ada di KPT.
Selain itu, Dr. Mohammad turut berkongsi teknik carian paten menggunakan Lens.Org, bertempat di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen.
Sementara itu, Timbalan Pengarah RMC, Dr. Annuar Aswan Mohd Noor telah berkongsi pencapaian penyelidikan UUM bagi tahun 2024 yang menunjukkan peningkatan signifikan.
Beliau turut berterima kasih kepada Pengarah ICC, Prof. Madya Dr. Faizal Omar yang sudi bekerjasama dengan RMC sehingga dapat menjayakan program dibuat secara bersemuka walaupun pada asalnya dirancang untuk dibuat secara atas talian. – Nurshazwani Shahidan