Bengkel Digital Usahawan Muda cipta konten, cipta peluang
POKOK SENA, 13 April 2025: Satu Bengkel “Perniagaan Secara Kreatif Melalui Media Sosial” telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena 2 (SMKPS2), Kedah.
Bengkel yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang disertai 40 pelajar dan pengajar Tingkatan 6 SMKPS2.
Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama SMKPS2 dan syarikat Adamas Prosper Services.
Bengkel ini juga merupakan salah satu aktiviti pemindahan ilmu di bawah geran penyelidikan bertajuk ‘Digital Opportunities for Socio-Economic Empowerment of B40 Entrepreneurs’, yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad, bersama ahli penyelidik UUM iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Maslinda Mohd Nadzir dan Prof. Madya Dr. Yuhanis Yusof.
Objektif utama bengkel adalah untuk membantu meningkatkan kemahiran keusahawanan digital dalam kalangan pelajar dan pengajar Tingkatan 6 dengan memberi penekanan kepada penggunaan platform media sosial, khususnya TikTok, sebagai medium untuk menjana dan menambah pendapatan sampingan secara kreatif dan berkesan.
Peserta bengkel telah dilatih mengenai kaedah menjana idea perniagaan, membina jenama, mempromosikan produk serta strategi pemasaran digital yang relevan menggunakan TikTok.
Bengkel turut merangkumi latihan praktikal seperti membuka akaun TikTok, menggunakan TikTok Shop, menambah produk untuk dijual, mempromosikan produk melalui video kreatif, menjalankan TikTok Live, menghasilkan “beg kuning” untuk jualan, menyertai TikTok Affiliate dan memanfaatkan ciri-ciri analitik untuk meningkatkan capaian jualan.
Setiap peserta dibekalkan dengan modul latihan yang komprehensif dan menerima bimbingan secara individu daripada penceramah bertauliah, Ts. Sabrina Abdul Rahim, pelajar pascasiswazah UUM, dengan bantuan daripada enam pelajar SOC yang bertindak sebagai fasilitator.
Menurut Ketua Unit Kurikulum, Pusat Tingkatan 6 SMKPS2, Cikgu Norzila Arif Pazilah, bengkel ini memberi banyak ilmu dan kemahiran baharu kepada pelajar yang berpotensi untuk meningkatkan pendapatan sampingan dan seterusnya membantu ekonomi keluarga.
“Penganjuran program ini amat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Kualiti Pendidikan dan SDG 8: Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi, yang menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan ekonomi yang mampan,” ujarnya.
Penganjuran bengkel ini bukan sahaja memberikan impak kepada peserta dari aspek pengetahuan dan kemahiran praktikal, malah turut menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi komuniti setempat melalui pendekatan inovatif dan digital dalam bidang keusahawanan. – Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad