Menongkah arus dunia: Kisah perjalanan anak autisme ke persada antarabangsa
Gambar JK Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat, SLCP
SINTOK, 21 April 2025: Sempena Bulan Kesedaran Autisme pada setiap bulan April, Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), telah menganjurkan satu webinar istimewa yang berjudul “Woo Young Woo Malaysia: Kehidupan Pelajar Autisme di Bumi Kimchi” di Bilik Bimasakti, SLCP melalui platform Webex serta laman Facebook rasmi SLCP.
Webinar ini menyingkap kisah luar biasa Aliah Hana Ruzaidi, seorang pelajar cemerlang dalam bidang Animasi di Sejong University, Korea Selatan. Beliau telah didiagnosis dengan Asperger Syndrome, iaitu satu kecelaruan dalam spektrum autisme, sejak berusia 12 tahun. Turut hadir sebagai panel jemputan webinar ini ialah Guru Bahasa Korea di SLCP, Jun Sang Bae.
Slot bertajuk Antara Impian dan Kenyataan ini yang dikendalikan oleh Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Pendidikan, Dr. Nazmin Abdullah yang membawa penonton menyelami sisi peribadi kehidupan Aliah Hana, khususnya cabaran yang dihadapi semasa zaman persekolahan, episod trauma dan kesihatan mental, pertarungan emosi dalaman dan titik keinginan Aliah Hana untuk menamatkan hidup.
Perkongsian ini turut mengupas isu ketidakfahaman masyarakat terhadap individu berkeperluan khas, interaksi Aliah Hana bersama rakan dan pensyarah, serta pandangannya tentang kehidupan sebagai seorang yang unik secara neurologi. Setiap butir perkongsian menyentuh hati dan mengundang empati serta membuka ruang kepada pendengar untuk menyelami dunia seorang anak autisme dari sudut pandang yang jarang didengari.
Walaupun tidak melalui pendidikan formal secara konsisten dan sering berhadapan dengan kesukaran semasa di alam persekolahan, Aliah Hana membuktikan bahawa autisme bukan penghalang kejayaan. Fasih menulis dan bertutur dalam bahasa Korea, beliau berjaya meraih PNGK 4.0 untuk beberapa semester berturut-turut semasa mengikuti pengajian pra-Korea di UNIKL, sebelum menyambung pengajiannya di Sejong University, Korea Selatan.
Hakikatnya, suatu ketika dahulu dia tidak pernah menghadiri sesi persekolahan secara penuh dan konsisten, hanya mendapat kekuatan untuk mengikuti kelas secara sepenuhnya pada tahun akhir persekolahan semasa di Tingkatan 5. Aliah berjaya menamatkan persekolahan dan menduduki peperiksaan SPM dengan keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran (2A+ dan 5A-) dalam aliran sastera. Kejayaan ini membuka peluang kepadanya untuk menerima biasiswa antarabangsa ke Korea, iaitu satu pencapaian luar biasa yang datang daripada ketabahan dirinya serta sokongan padu daripada insan di sekelilingnya.
Aliah turut memberikan penghargaan kepada seorang guru yang mencadangkan agar dia melakukan pemeriksaan mental ketika beliau berusia 12 tahun. Tindakan kecil ini membawa perubahan yang besar dan signifikan dalam hidupnya. Aliah berkongsi bahawa tanpa saranan gurunya, mungkin dia tidak mengetahui tentang keadaannya atau menerima sokongan yang betul pada waktu yang sangat kritikal dalam hidupnya.
“Masa tu, saya sendiri pun tidak faham apa yang berlaku pada diri saya. Saya rasa pelik, saya tahu saya berbeza, tapi saya tak tahu kenapa.
“Guru saya ketika itu tidak menghukum atau menganggap saya sekadar ‘anak bermasalah’. Sebaliknya, beliau berani bersuara kepada ibu bapa saya dan mencadangkan agar saya dibawa menjalani pemeriksaan. Itu bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi dalam masyarakat kita yang masih ada stigma terhadap isu kesihatan mental dan kelainan upaya,” katanya.
Dalam nada yang tenang tetapi penuh makna, Aliah turut menyeru masyarakat agar lebih peka dan terbuka agar tidak terlalu cepat menilai seseorang tanpa cuba memahami.
Jangan labelkan pelajar sebagai malas, nakal, atau degil, sedangkan mereka mungkin sedang bergelut dengan sesuatu yang masyarakat tidak nampak. Apa yang orang sekeliling perlu buat bukan hanya simpati, tapi ambil tahu, cari ilmu. Kalau tidak faham, bertanyalah, sentiasa belajar. Awareness itu sangat penting.
Aliah berkata, jika gurunya ketika itu tidak berani mengambil langkah tersebut, mungkin dia tidak akan pernah berpeluang mengenali siapa dirinya yang sebenar apatah lagi menjejakkan kaki ke negara asing yang mempunyai budaya dan bahasa yang sangat berbeza daripada Malaysia.
Baginya, satu langkah kecil yang dilakukan dengan niat yang betul mampu meninggalkan impak yang besar dalam kehidupan seseorang. Dia percaya bahawa masyarakat yang berilmu, empati dan peka merupakan kunci kepada masa depan yang lebih inklusif dan bermakna untuk semua individu kelainan upaya.
Dalam sesi perkongsian yang penuh dengan keterbukaan, Aliah turut menyentuh cabaran awal untuk mendapatkan sokongan keluarga, terutamanya apabila dia menyuarakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Ketika ditanya mengenai reaksi keluarganya setelah berjaya memperoleh pinjaman boleh ubah daripada kerajaan Malaysia, iaitu satu permohonan yang dilakukannya secara rahsia, Aliah berkata, pada mulanya, ibu bapa dia agak tertutup, dan kurang pengetahuan tentang kondisinya.
“Sukar untuk mereka meletakkan kepercayaan kepada saya untuk berdikari, lebih-lebih lagi sebagai anak autistik yang bergantung kepada ubat-ubatan.
“Mereka tidak menyokong langsung hasrat saya ke Korea. Tapi saya sangat bersyukur kerana ada kakak ipar yang memahami dan sanggup ambil risiko menjadi penjamin saya. Keberaniannya membuka jalan buat saya. Saya amat berterima kasih padanya, ternyata, risikonya sangat berbaloi,” katanya.
Dalam sesi soal jawab lain, apabila ditanya bagaimana ibu bapa boleh menyokong anak-anak autisme mereka, Aliah menjawab dengan analogi yang amat mendalam, “Sebenarnya, ibu bapa yang overprotective ini ibarat halangan untuk anak mereka mengembangkan bakat dan potensi diri. Ia seperti kita menghalang anak memanjat pokok kerana risau dia akan terjatuh.
“Tapi kalau kita biarkan dia memanjat, dia akan dapat melihat betapa indahnya pemandangan dari atas sana. Sebagai ibu bapa, lebih bermakna jika kita berdiri di belakang mereka, memberi dorongan dan menyediakan safety net.”
Webinar selama tiga jam ini bukan sekadar sesi perkongsian, tetapi satu proses perjalanan yang menyentuh emosi serta membuka mata dan minda. Program ini juga memberikan kesedaran dan kefahaman yang lebih mendalam tentang realiti yang dilalui oleh individu autisme.
Sesi ini yang mendapat lebih 1000 tontonan di platform media sosial berjaya menjadi platform yang memupuk empati, meningkatkan literasi sosial dan menyemai harapan bahawa setiap individu, termasuk mereka yang merupakan insan kelainan upaya berhak untuk bermimpi, berusaha dan berjaya. Walau berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kesusahan, mereka tetap memiliki potensi yang besar untuk mengembangkan diri dan mencipta kejayaan tersendiri.
Penganjuran webinar ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada lebih banyak ruang inklusif untuk anak autisme berkongsi pengalaman mereka dan pada masa yang sama menggalakkan masyarakat agar lebih cakna, terbuka, serta meraikan kelainan sebagai satu keunikan serta kekuatan dan bukannya satu kekurangan. – Dr. Nur Syuhada Mohd Radzi
Rakaman webinar boleh ditonton di pautan ini https://www.facebook.com/share/v/1Hy4PNBVw8/