Education

Jejak Data perkasa literasi statistik murid sekolah rendah

Berita dan gambar Dr. Wan Laailatul Hanim Mat Desa

CHUPING, 21 April 2025: Seramai 60 murid Tahun 5 dan Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Felda Chuping telah menyertai program interaktif bertemakan “Jejak Data” anjuran Pusat Pengajian Sains (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM), di bawah program GenSTEM.

Ketua program, Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad berkata, program ini merupakan kesinambungan daripada aktiviti “Detektif Geometri” yang telah dijalankan sebelum ini, dan masih membawa misi utama untuk menyemai minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sekolah rendah melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

Menurutnya, “Jejak Data” menekankan pendekatan penyiasatan berasaskan data, sejajar dengan keperluan era digital yang menuntut celik data sejak usia muda.

“Murid bukan sahaja belajar mengumpul dan merekod data, tetapi juga menganalisis dan mempersembahkannya dalam bentuk graf,” katanya.

Misi Jejak Data kali ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Syariza Abd Rahman dan Dr. Wan Laailatul Hanim Mat Desa, serta dibantu oleh dua lagi pensyarah SQS, Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin dan Dr. Saiful Adli Mohamed, yang turut memainkan peranan penting dalam melancarkan setiap aktiviti yang dijalankan.

Sepanjang program berlangsung, guru pengiring, Cikgu Sarni, turut memantau dan memberikan galakan kepada peserta yang teruja menyelesaikan tugasan mereka.

Program yang berlangsung selama empat jam ini merangkumi lima misi utama. Misi pertama dimulakan dengan sesi imbas kembali aktiviti lalu diikuti taklimat ringkas dan pra-soalan. Misi kedua, membawa peserta menjalankan penyiasatan lapangan dengan mengumpul data perisa aiskrim kegemaran rakan-rakan dan merekodkan dapatan dalam bentuk jadual serta graf bar.

Selepas sesi rehat dan refleksi, murid diuji dalam “Maze Pendaraban” – sebuah permainan berasaskan sifir yang menekankan pemikiran pantas serta kemahiran menyelesaikan masalah.

Setiap misi direka untuk meningkatkan pemikiran kritikal, kemahiran komunikasi dan kebolehan bekerja dalam kumpulan. Pendekatan ini diyakini dapat membina asas yang kukuh terhadap pemahaman konsep matematik dalam konteks kehidupan sebenar.

Program diakhiri dengan sesi rumusan dan refleksi, yang menyaksikan murid berkongsi pengalaman serta dapatan sepanjang aktiviti berlangsung.

Kejayaan program ini membuktikan bahawa literasi statistik boleh dipupuk sejak sekolah rendah, asalkan pendekatannya kreatif, interaktif dan relevan dengan dunia murid.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button