E-Fest Inasis Bank Rakyat cetus semangat usahawan muda
SINTOK, 23 April 2025: Semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa terus disemarakkan melalui penganjuran Festival Keusahawanan INASIS Bank Rakyat (IBR E-Fest) yang berlangsung di INASIS Bank Rakyat, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini merupakan inisiatif Biro Kepimpinan dan Keusahawanan Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Bank Rakyat yang bertujuan memupuk minat dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui pendekatan praktikal serta interaktif.
Pengarah Program IBR E-Fest, Olyvia Cloudia Allance berkata, festival dua hari ini membuka peluang kepada para pelajar untuk menjalankan perniagaan mereka sendiri, sekali gus memberi pendedahan secara langsung dalam aspek pengurusan, pemasaran, serta komunikasi pelanggan.
“Sebanyak 12 buah gerai usahawan pelajar telah mengambil bahagian dalam festival ini, menjual pelbagai produk makanan, minuman, aksesori, dan perkhidmatan kreatif.
“Program ini bukan sahaja memperkenalkan konsep keusahawanan kepada mahasiswa, malah memberi ruang kepada mereka untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari secara langsung di lapangan sebenar.
“Kami percaya bahawa pengalaman ini akan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar UUM yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga bersedia menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.
IBR E-Fest secara keseluruhan telah menarik lebih daripada 500 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran, mencerminkan sambutan positif dan minat mendalam dalam bidang keusahawanan dalam kalangan komuniti kampus.
Dengan kejayaan penganjuran ini, pihak penganjur berharap agar IBR E-Fest dapat dijadikan acara tahunan yang lebih besar pada masa akan datang. – Muqriz Adam Mahadzir