Disaster Management Institute UUM jadi pakar rujuk
KUALA LUMPUR, 28 April 2025 – Disaster Management Institute (DMI), Universiti Utara Malaysia (UUM) diiktiraf sebagai pakar rujuk dan dijemput menyampaikan pembentangan dalam Mesyuarat Rakan NADMA: Post Mortem Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 serta Bengkel Jawatankuasa Kerja Rakan NADMA.
Program anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang berlangsung di Dewan Perdana, Bulan Sabit Merah Malaysia, Kuala Lumpur ini merupakan platform strategik untuk menilai pelaksanaan pengurusan bencana semasa MTL dan merangka pelan tindakan yang lebih mantap untuk musim akan datang, melalui kerjasama rentas agensi dan sektor.
DMI UUM telah diwakili oleh Pengarahnya, Dr. Chong Khai Lin, yang menggariskan keperluan penubuhan Jawatankuasa Antara Universiti sebagai satu platform penyelarasan penyelidikan bencana di peringkat nasional dalam pembentangan beliau.
Pembentangan turut mengetengahkan hasil pemetaan kepakaran universiti dalam pelbagai fasa pengurusan bencana seperti pembangunan kapasiti, pemulihan sosio-ekonomi, sokongan kesihatan mental, penilaian risiko dan sistem amaran awal.
YTM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah dan Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, turut berkenan mencemar duli untuk mendengar dapatan mesyuarat serta pembentangan daripada para peserta, termasuk sumbangan pihak akademia.
Pada sesi sebelah petang, DMI UUM turut menyertai perbincangan Bengkel Jawatankuasa Kerja Rakan NADMA, khususnya dalam Kumpulan Rakan NADMA Akademia.
Kumpulan ini membincangkan pemetaan kepakaran universiti secara menyeluruh, mengenal pasti penyelidikan berimpak tinggi yang bersedia untuk dilaksanakan di lapangan, serta mencadangkan pembentukan Konsortium Rakan NADMA sebagai platform kerjasama strategik antara akademia dan agensi pengurusan bencana.
Penyertaan aktif dan komprehensif DMI UUM dalam forum ini telah mengukuhkan lagi peranannya sebagai pusat kepakaran akademik dalam pengurusan bencana, sejajar dengan aspirasi negara untuk membentuk komuniti yang lebih berdaya tahan, tangkas dan inklusif dalam menghadapi risiko bencana.