UUM perkukuh kolaborasi serantau pacu inklusiviti
Gambar Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat SLCP
ALOR SETAR, 5 Mei 2025: Sambutan “Autism Acceptance Day, Celebrate Differences” yang berlangsung di Dewan Konvokesyen Albukhary International University (AIU) menjadi titik pertemuan penting antara institusi pengajian tinggi, institusi perubatan dan perkhidmatan kesihatan serta komuniti autisme dalam usaha membina masyarakat yang lebih inklusif.
Naib Canselor dan Presiden AIU, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar berkata, acara ini mengetengahkan kolaborasi strategik antara Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai badan kolaborasi utama.
Sebanyak 15 buah gerai pameran hasil kreativiti anak-anak autisme telah menjadi tumpuan utama lebih 2,000 pengunjung yang hadir.
Pelbagai karya seni dan produk kraf hasil kreativiti mereka yang dipamerkan kepada umum telah memperlihatkan ekspresi jujur dan bakat luar biasa.
Beberapa peserta autisme turut mempersembahkan bakat dalam nyanyian dan deklamasi sajak yang merupakan satu pengiktirafan kepada potensi dan keupayaan mereka. Ini membuktikan bahawa autisme bukan penghalang kepada kebolehan unik mereka yang jarang diberi ruang dalam acara arus perdana.
Kemuncak program ialah forum bertajuk “Autisme Bukan Halangan: Ke Arah Masyarakat yang Lebih Menerima” yang menampilkan tiga orang panelis dari UUM iaitu dua pensyarah dan seorang pelajar autisme pascasiswazah. Sesi ini dikendalikan oleh Dr. Faridah Md Adnan, pakar psikiatri dari Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah.
Salah seorang panelis juga dari UUM iaitu Mohd Sohib Zamani Sobberi yang merupakan pelajar Sarjana Sains Kaunseling telah berkongsi kisah inspirasi beliau sebagai individu dalam spektrum autisme yang kini mengejar pengajian tinggi.
“Saya tidak lihat ini sebagai kekurangan. Ia adalah kekuatan dimana saya belajar mengurus diri, belajar memahami orang lain dengan lebih mendalam,” katanya.
Ahli panel seterusnya iaitu pensyarah dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), UUM, Dr. Zuriana Zahrin, yang juga seorang ibu kepada lima anak autisme, menceritakan perjuangan membesarkan anak-anaknya ketika beliau bergelut untuk menyiapkan tesis PhDnya yang mengambil masa selama 13 tahun.
“Setiap hari adalah ujian dan rahmat. Saya berserah kepada Allah, kerana Allah ya Barik, Tuhan yang maha mengaturkan dan saya yakin setiap seorang anak saya mempunyai jalan cemerlang mereka sendiri di atas aturan Allah.
“Tugasan harian saya dibahagikan antara kelima-lima anak autisme ini mengikut keupayaan masing-masing,” katanya.
Mengakhiri sesi, pensyarah dari SLCP UUM, Dr. Syed Sultan Bee Packeer Mohamed pula mengupas topik dari perspektif agama.
“Taklif Syari’e dalam Islam sangat jelas iaitu anak autisme yang mengalami kekurangan dari sudut kecerdasan akal, namun hak mereka untuk hidup berpandukan agama tidak boleh dinafikan.
“Mereka mestilah dipupuk oleh ibu bapa, atau penjaga dan guru dengan nilai-nilai ketakwaan kepada Allah s.w.t bagi mendapat kedudukan yang tinggi disisiNYA, justeru mereka hendaklah dididik untuk menyempurnakan ibadat yang diwajibkan oleh Allah kepada setiap hambaNya walaupun mereka tidak dapat melakukannya dengan sempurna,” katanya.
Kejayaan penganjuran acara ini menunjukkan bagaimana kerjasama antara universiti, institusi kesihatan dan NGO mampu menghasilkan impak sosial yang besar. Dengan sokongan pelbagai pihak, masyarakat mula diberi kefahaman bahawa menerima perbezaan bukan sekadar sikap, tetapi satu tanggungjawab kolektif.
“Autism Acceptance Day” bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu gerakan kesedaran berterusan. Ia menyeru para pendidik, ibu bapa, pembuat dasar, dan masyarakat umum untuk menerima bahawa di dalam perbezaan, ada kekuatan. Dan di dalam kekuatan itu, terletaknya harapan untuk dunia yang lebih inklusif dan lebih menerima.
Program kesedaran autisme peringkat negeri Kedah anjuran HSB ini juga bekerjasama dengan Albukhary International Universiti, Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) Kedah, NASOM Alor Setar, serta Kumpulan Sokongan Keluarga Anak Autisme Zon Utara (KSK AAZU).
Rakaman penuh forum boleh ditonton melaui pautan berikut https://www.facebook.com/share/v/12L6qFXLbCb/
Disediakan Dr. Mazura Jamalai @ Jamali