CEDI Talk Series angkat peranan keusahawanan sosial dalam transformasi komuniti serantau
Gambar CEDI
SINTOK, 19 Mei 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan webinar bertajuk “CEDI Talk Series: Empowering Social Entrepreneurship” yang mengetengahkan kepentingan keusahawanan sosial dalam mencetus perubahan berimpak tinggi serta mampan di rantau Asia Tenggara.
Program yang berlangsung melalui platform Webex ini telah menampilkan dua tokoh terkemuka dalam bidang keusahawanan sosial, iaitu Pengasas dan Pengarah Eksekutif SociopreneurID dari Indonesia, Dr. Dessy Aliandrina, dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dari Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Prof. Madya Dr. Suraya Hanim Mokhtar.
Dalam sesi ini, kedua-dua panelis telah berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai bagaimana pendidikan dan kolaborasi rentas institusi boleh memperkasa generasi muda untuk memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih lestari.
Dr. Dessy menekankan bahawa meskipun Indonesia mempunyai lebih daripada 400,000 usahawan sosial, penglibatan dan kesedaran masyarakat terhadap bidang ini masih rendah berbanding negara lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Indonesia menyasarkan agar menjelang tahun 2045, sebanyak 8 peratus daripada keseluruhan populasi usahawan di negara itu terdiri daripada usahawan sosial. Sehubungan itu, beliau menegaskan perlunya pendekatan berasaskan pendidikan dan pembentukan jaringan serantau untuk memperkasa keusahawanan sosial secara lebih sistematik.
Sementara itu, Dr. Suraya Hanim pula menekankan peranan strategik institusi pengajian tinggi dalam membentuk ekosistem keusahawanan yang menyokong pembangunan komuniti.
Menurut beliau, AIU telah mengambil inisiatif memperkenalkan kurikulum yang mengintegrasikan pendidikan perniagaan sosial, di mana pelajar bukan sahaja mempelajari teori tetapi turut melibatkan diri dalam projek-projek berasaskan komuniti sebenar.
Beliau turut menyatakan bahawa kebimbangan terhadap keselamatan pekerjaan serta kekangan budaya masih menjadi antara halangan utama kepada penglibatan belia dalam bidang keusahawanan, justeru perubahan minda dan sokongan berstruktur amat diperlukan.
Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, UUM melalui CEDI terus komited dalam menyokong pembangunan keusahawanan sosial melalui penyelidikan inovatif dan penyediaan dana kepada projek akademik yang memberi impak kepada masyarakat.
“Program CEDI Talk ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta berkaitan konsep dan amalan keusahawanan sosial, malah turut membuka ruang kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh peranan belia sebagai agen perubahan sosial.
“Sesi ini turut mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada kalangan pelajar, pensyarah, penyelidik serta wakil agensi berkepentingan,” katanya.
Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk kesedaran, menyemai inspirasi serta menggalakkan kerjasama merentas sempadan dalam usaha memajukan bidang keusahawanan sosial sebagai instrumen transformasi komuniti yang berkesan. – Akmal Ahlami Md Rozai