Education

Menyingkap realiti emosi, kesihatan mental dan autisme 

SINTOK, 25 Mei 2025: Sempena Mei sebagai Bulan Kesedaran Kesihatan Mental, artikel ini menyingkap slot kedua webinar bertajuk Woo Young Woo: Kehidupan Pelajar Autisme di Bumi Kimchi yang mengutarakan topik kesihatan mental.

Webinar yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) pada bulan April lepas telah memberi ruang kepada pelajar autisme, Aliah Hana Ruzaidi, untuk berkongsi kisah perjuangannya sebagai individu dalam spektrum autisme yang sedang melanjutkan pengajian di Korea Selatan. Artikel tentang perkongsian beliau yang diterbitkan pada 21 April yang lalu telah meraih perhatian dan bacaan meluas daripada khalayak umum, sekaligus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran sebenar yang dihadapi oleh individu autisme di perantauan.

Sorotan terhadap kisah beliau dalam artikel tersebut turut membuka peluang untuk Aliah dijemput bagi sesi temu bual lanjutan bersama wartawan Utusan Malaysia. Artikel ini pula merupakan kesinambungan kepada kisah inspiratif tersebut, dengan memberi tumpuan khusus kepada tema Jiwa di Perantauan – meneroka sisi kemanusiaan, ketabahan, dan keakraban yang terjalin dalam perjuangan dua anak Malaysia di bumi asing.

Slot kedua dalam webinar ini menampilkan sesi perkongsian yang mengundang renungan, menelusuri kehidupan Aliah Hana bersama rakan serumahnya, Iman Zalikha Mohd Najib, yang juga merupakan pelajar Malaysia di Universiti Sejong. Sesi ini diserikan dengan kehadiran panel jemputan iaitu Dr. Khor Eleen, Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Slot kedua ini dikendalikan oleh Dr. Yusniza Mohd Yusoff, Guru Bahasa Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) UUM.

Dalam perkongsian ini, Aliah dan Iman berkongsi secara jujur tentang realiti hidup sebagai anak rantau,- cabaran akademik, tekanan persekitaran, perbezaan budaya dan bahasa, kerinduan terhadap keluarga, serta perjuangan dalam memahami dan menerima diri sendiri. Namun yang lebih penting, mereka membuka ruang untuk membincangkan isu yang sering diselindungkan: kesihatan mental, khususnya dalam kalangan individu yang mengalami autisme.

Saling Memahami di Perantauan

Aliah secara terbuka berkongsi pengalamannya menghadapi tekanan mental yang sangat berat sehingga menyebabkan beliau mengalami episod blackout ketika sedang membuat pembentangan di dalam dewan kuliah sehingga perlu dikejarkan ke hospital. “Saat saya terbaring di katil hospital, terlintas di fikiran tentang angka bunuh diri yang tinggi di Korea. Waktu itu, saya tertanya-tanya,- mungkinkah saya akan menjadi sebahagian daripada angka itu? Namun saya sedar, saya masih punya harapan dan hidup ini harus diteruskan.” ujarnya penuh emosi. Beliau mengakui pada waktu itu, beliau berasa sangat bersalah kepada rakan sekelasnya, hilang semangat dan seperti telah gagal, serta tidak mampu bangun dari katil, dan hanya bergantung kepada kopi untuk melalui hari-harinya. Namun, dalam keterbatasan tersebut, keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dan pensyarah amat mengharukan sekaligus memberikan kekuatan untuk terus bertahan.

“Saya akui secara terbuka bahawa saya mengalami depression. Dan saya amat bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan yang memahami,” tambahnya. Menurut Aliah, kesedaran tentang kesihatan mental dalam kalangan masyarakat kini semakin meningkat, namun kefahaman terhadap cabaran yang dihadapi oleh individu dalam spektrum autisme masih cetek. Tekanan yang dialami oleh golongan ini selalunya lebih kompleks dan berpanjangan, namun sering kali tidak difahami atau dipandang ringan.

Iman Zalikha, yang juga mempunyai adik dalam spektrum autisme yang kini sedang menuntut di kolej, sangat memahami cabaran yang dihadapi oleh rakan serumahnya itu. Dengan nada penuh empati, beliau berkata, “Sebagai pelajar perantauan, kadang-kadang kita rasa sunyi, tiada siapa untuk mendengar. Tapi tidak mengapa. Ambil masa anda. Rehatlah sebentar. Dan esok pagi, bangunlah kembali dengan semangat yang baharu.”

Pentingnya Sistem Sokongan

Dr. Eleen memaklumkan bahawa terdapat peningkatan di kalangan pelajar universiti di perantauan memilih untuk mendapatkan sesi kaunseling sewaktu cuti semester. Ini menunjukkan peningkatan kesedaran yang sihat terhadap penjagaan kesihatan mental. Tambah beliau, kini semakin banyak sesi konsultasi secara maya ditawarkan terutamanya di klinik swasta bagi memenuhi keperluan emosi remaja masa kini. Beliau juga menekankan kepentingan sistem sokongan dalam proses pemulihan emosi. Sama ada daripada keluarga mahupun rakan, seseorang individu memerlukan ruang untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Namun, beliau turut mengakui bahawa tidak mudah bagi orang luar untuk memahami coping mechanism yang dilalui oleh individu berkeperluan khas seperti Aliah.

Bakat Penulisan yang Mengagumkan

Aliah Hana bukan sahaja berada dalam spektrum autisme, malah merupakan pelajar cemerlang dalam bidang akademik. Beliau yang fasih bertutur dan menulis dalam Bahasa Korea merupakan antara pelajar terbaik dalam dalam jurusan animasi di Sejong University, Korea Selatan. Keupayaannya mengurus cabaran peribadi di samping mengekalkan prestasi akademik yang tinggi menunjukkan ketekunan dan keupayaan intelektual yang luar biasa. Di sebalik ujian dan cabaran yang dilalui, terserlah satu lagi sisi istimewa dalam diri Aliah Hana, iaitu bakat luar biasa dalam bidang penulisan. Aliah telah menulis sebuah manuskrip biografi sepanjang 88,000 patah perkataan yang mendokumentasikan perjalanan hidupnya sebagai seorang individu dalam spektrum autisme. Naskhah autobiografi dalam Bahasa Inggeris ini kini menanti penerbit yang sudi menerbitkannya. Namun menurut Aliah, bukan mudah untuk menemukan penerbit yang bersedia menerima penerbitan memoir, sesuatu yang masih jarang disentuh dalam dunia penerbitan arus perdana.

Namun beliau tetap tidak berputus asa. “Saya ingin kongsikan kisah ini bukan untuk meraih simpati, tetapi agar masyarakat lebih faham. Ini bukan hanya tentang saya, tetapi tentang ramai lagi seperti saya yang suara mereka tidak didengari,” katanya penuh keteguhan. Beliau turut berpesan, “Jika anda berasa terlalu tertekan, ambillah sedikit masa untuk diri sendiri. Tarik nafas. Berehat seketika. Dengar lagu kegemaran. Tidurlah sebentar. Rehat itu bukan bererti lemah, tetapi satu bentuk penjagaan diri.”

Aliah mengakui bahawa walaupun kita sering diingatkan untuk mendapatkan bantuan, hakikatnya perkara itu bukanlah semudah yang disangka. Dalam dunia hari ini, kebanyakan orang hanya ingin berkongsi detik-detik indah kehidupan, ‘the highlights of life’ dan tidak ramai yang sanggup mempamerkan sisi gelap dalam hidup mereka. Ketika melalui titik hitam dalam hidupnya, beliau sering mengingatkan diri untuk tidak mengapa jika perlu sentiasa mengambil langkah kecil. Beliau berpesan, “You got to feel what you have to feel at the moment but take one step at a time.” Aliah turut menegaskan, “Memang sukar untuk meminta bantuan. Tapi percayalah, your feelings are valid. You deserve to be here on this world, and you are not wasting oxygen. Good things will come”.

Perkongsian ini bukan sekadar mengenai perjuangan dua pelajar Malaysia di tanah asing, tetapi juga seruan untuk kita semua agar lebih peka dan menyedari pentingnya empati serta kesedaran terhadap kesihatan mental, demi mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin. – Dr. Nur Syuhada Mohd Radzi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button