Featured News

Rawat pesakit seperti keluarga sendiri

SINTOK, 27 Mei 2025: “Rawatlah setiap pesakit seperti merawat ahli keluarga sendiri” itu prinsip yang dipegang oleh Dr Firdaus Romli, pegawai pergigian yang menerima APC sempena Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2025 di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Doktor gigi memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan oral masyarakat. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab untuk merawat masalah gigi dan mulut, tetapi juga memberikan pendidikan kesihatan kepada pesakit.

Dengan amalan terbaik dan sikap profesionalisme yang tinggi, seorang doktor gigi boleh membawa perubahan besar dalam kesejahteraan pesakit serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan gigi.

“Penerimaan APC oleh seorang doktor gigi bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi juga satu tanggungjawab besar untuk terus menyampaikan mesej penting kepada masyarakat.

“Salah satu pesanan utama yang sering ditekankan ialah kepentingan penjagaan kesihatan gigi bagi memastikan senyuman menawan dan kehidupan yang lebih berkualiti.

“Kesihatan oral bukan sekadar soal kecantikan, tetapi juga berkait rapat dengan kesihatan keseluruhan. Jangkitan dalam mulut boleh memberi kesan kepada organ lain, dan masalah gigi yang tidak dirawat boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang,” ujarnya.

Jelasnya, pendidikan kesihatan pergigian perlu diberikan sejak kecil supaya kepentingan menjaga gigi bermula seawal gigi susu pertama yang tumbuh.

⁠Tingkatkan kesedaran masyarakat sebenarnya bermula dari ibu bapa sendiri di rumah. Ibu bapa perlu bijak mencari maklumat berkaitan kesihatan pergigian utk diterapkan kepada anak-anak dan ahli keluarga.

Walaubagaimanapun katanya, kesedaran masyarakat masih di tahap sederhana di Malaysia disebabkan kadar kejadian karies di kalangan kanak-kanak masih tinggi terutama masyarakat luar bandar.

⁠Cabaran sebagai doktor gigi adalah untuk memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa perlu menjaga kesihatan gigi sepanjang hayat kerana gigi kekal yang telah dicabut tidak akan tumbuh lagi.

“Saya rasa puas apabila setiap pesakit tersenyum semasa keluar dari bilik rawatan saya selepas menerima rawatan. Saya selalu pesan kepada pesakit yang datang, jagalah gigi sepanjang hayat, gigi cantik senyuman menawan,” ujarnya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (BDS) dari Universiti Malaya    ini memulakan kerjaya pada 2006 di Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia di Perlis (2006) sebelum bertugas di Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) UUM pada 2017.

Sementara itu, Juru X-ray, Nurul Izzah Othman pula bertugas menjalankan pemeriksaan X-ray ke atas pesakit mengikut arahan pegawai perubatan dan pegawai pergigian.

Beliau menzahirkan kepuasan apabila dapat membantu Pegawai Perubatan dalam mendiagnosis penyakit.

“Tugas saya adalah memastikan dos radiasi yang diberikan adalah dalam nilai yang optimum maksudnya ianya bertepatan dan mencukupi utk mendiagnosis penyakit.

“Jika Jurugambar menghasilkan gambar sebagai kenangan, tetapi Juru X-ray menghasilkan gambar untuk membantu Pegawai Perubatan untuk mendiagnosis penyakit,” katanya yang bertugas di PKKU sejak 17 tahun lalu.

Beliau merupakan lulusan Diploma Pengimejan Perubatan UiTM Shah Alam sebelum menyambung pengajian di UUM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam (PJJ).

Beliau berharap masyarakat berusaha menjaga kesihatan dengan lebih baik serta mengamalkan gaya hidup sihat.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button