Education

Mengelilingi karya agung dunia bersama penerbit tempatan

Gambar Muhammad Fakhrurrazi Hasbullah dan Sarvindd Kumar S.Vijayan

KUALA LUMPUR, 2 Julai 2025: Lawatan industri ke reruai The Biblio Press di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 baru-baru ini menjadi platform berharga buat pelajar program Sarjana Muda Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT) serta program Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) untuk mendekati dunia penterjemahan dan penerbitan karya kreatif secara profesional.

Program perkongsian ilmu dengan pakar industri merupakan program lawatan kursus SBLKK3053 Terjemahan Karya Kreatif dan SBLSK3043 Karya Media dengan penglibatan seramai 34 pelajar dan pensyarah pengiring.

Sebagai sebuah syarikat yang memfokuskan kepada penerbitan dan penterjemahan karya-karya terkemuka dari dalam dan luar negara, lawatan ke The Biblio Press membuka ruang kepada pelajar BLIT dan BCLCIM untuk mengenali peranan penting sektor penerbitan, khususnya terjemahan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Pengarah program, Aiman Danial Mohd Zaulkarnain berkata, lawatan ini merupakan satu pendedahan yang sangat bermanfaat kepada pelajar.

“Melalui lawatan ini, pelajar BLIT dan BCLCIM bukan sahaja mengenali proses penerbitan dan penterjemahan dengan lebih dekat, tetapi juga memahami bagaimana pasaran industri berfungsi serta potensi kerjaya dalam bidang ini, terutamanya terjemahan karya kreatif,” katanya.

Penerbit dan pemilik syarikat The Biblio Press, saudara Kiridaren Jayakumar turut berkongsi misi utama syarikat untuk memperkasakan bahasa kebangsaan melalui penerbitan karya asli dan terjemahan yang merentas genre dan khalayak.

Pelajar diberikan pendedahan tentang trend terjemahan semasa di tanah air yang banyak tertumpu pada penerbitan karya terjemahan sastera agung dunia ke dalam bahasa Melayu.

Usaha murni ini membolehkan khalayak pembaca tempatan mengakses himpunan karya dunia tanpa jurang dan hambatan bahasa.

Dalam sesi perkongsian yang sama, pihak The Biblio Press turut menyatakan kesediaan untuk menawarkan peluang latihan industri dan pekerjaan kepada para pelajar. Perkongsian ini memberikan kesedaran kepada pelajar bahawa industri perbukuan negara tidak lagi bersifat tradisional, bahkan kini lebih segar, dinamik, dan sentiasa memerlukan idea dan tenaga baharu yang berterusan.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SLCP, Dr. Maizatul Azura Yahya berkata, lawatan ini bertepatan dengan hasrat SLCP untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah bersedia menghadapi realiti industri.

“Dengan semangat dan keyakinan yang tinggi, pelajar melangkah pulang bukan hanya membawa buku dan pengetahuan baharu, tetapi juga membawa bersama cita-cita untuk menyumbang dalam dunia penterjemahan dan penerbitan,” katanya. – Murnisha Murugaiah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button