Education

Program Alam Warisan perkasa komuniti terhadap biodiversiti dan alam sekitar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2025

Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Azita Salleh

KULIM, 8 Julai 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah telah menjayakan Program Alam Warisan: Pemerkasaan Komuniti terhadap Biodiversiti & Alam Sekitar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 selama dua hari pada 4 Julai lalu di Bitara Campsite Lubok Jong, Sedim.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, dan turut mendapat sokongan serta penglibatan aktif daripada pelbagai agensi serta organisasi seperti Pertubuhan Nur Salam Wilayah Utara (PNSWU), Kulim Industrial Tenants Association (KITA), Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd. dan E-ldaman Group of Companies Sdn. Bhd.

Program ini turut melibatkan penglibatan fasilitator dari STML, UUM yang diwakili oleh Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh, Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Azita Salleh, Dr. Rosini Nawang Mustapen, Dr. Azim Azuan Osman serta wakil dari Pusat pengajian Perniagaan (SBM), UUM iaitu Dr. Luqman Mahmud.

Dr. Mohamed Najib berkata, program ini merupakan salah satu program sisipan sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (World Environment Day) 2025 yang menjurus kepada program kesedaran alam sekitar dan masyarakat.

Menurutnya, objektif penganjuran program adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar terhadap masyarakat sejagat serta mengeratkan hubungan orang awam dengan agensi masyarakat mahupun swasta melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di samping memulihara alam sekitar.

Katanya, program ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang sihat, cergas dan cerdas dalam penerapan elemen pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kelestarian alam sekitar.

Program ini bukan sahaja dapat memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform penting dalam memperkasa komuniti sebagai agen perubahan ke arah kelestarian alam dan pemeliharaan warisan semula jadi negara selari dengan Matlamat Pembangunan MampanĀ  (SDG).

SDG ini menyokong kesedaran dan tindakan dalam kalangan komuniti untuk melindungi alam sekitar, mengurangkan pencemaran, dan memulihara kawasan semula jadi yang membantu menangani isu perubahan iklim (SDG 13), menyokong terhadap pemuliharaan biodiversiti, pemulihan ekosistem daratan, perlindungan flora dan fauna, serta pendidikan tentang kepentingan biodiversiti selari dengan matlamat ini (SDG 15), memperkasa komuniti melalui penglibatan aktif dalam pemuliharaan alam sekitar dan memperkukuh hubungan masyarakat dengan persekitaran semula jadi (SDG 11), melibatkan elemen pendidikan alam sekitar dan kesedaran awam melalui bengkel, ceramah, dan aktiviti luar yang mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai kelestarian (SDG 4) serta melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi akademik, NGO, dan komuniti setempat (SDG 17).

Keseluruhannya, program ini telah berjaya menarik penyertaan pelajar-pelajar sekolah sekitar Kulim bersama agensi-agensi lain menerusi pelbagai aktiviti yang telah dijalankan seperti taklimat kesedaran alam sekitar, mudball making, tree planting dan river clean-up.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button