Projek SIGS ubah kehidupan komuniti wanita rentan melalui kemahiran jahitan, pengurusan kewangan dan pemasaran digital
Gambar CEDI
BALING, 8 Julai 2025: Projek berimpak di bawah Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) berjaya membawa perubahan ketara kepada komuniti rentan di Baling melalui program bertajuk “Memperkasa Komuniti Melalui Kemahiran Jahitan, Pengurusan Kewangan, dan Pemasaran Digital bagi Menjana Pendapatan Berterusan”.
Projek ini dilaksanakan melalui dana yang disalurkan oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah skim geran SIGS, yang bertujuan menyokong inisiatif pemindahan ilmu dan inovasi berasaskan komuniti yang membolehkan pelaksanaan modul latihan komprehensif, penyediaan fasiliti, bahan jahitan, dan penglibatan tenaga pakar dalam pelbagai bidang.
Projek ini memberi tumpuan kepada golongan wanita asnaf, B40 dan ibu tunggal dengan membekalkan kemahiran yang relevan dan bersifat lestari untuk menjana pendapatan isi rumah. Daerah Baling dipilih berdasarkan analisis keperluan setempat dan potensi ekonomi kawasan luar bandar, menjadikan projek ini sangat signifikan dari segi sosial dan ekonomi.
Projek ini telah memberi latihan holistik merangkumi kemahiran jahitan pakaian, pengurusan kewangan perniagaan, dan pemasaran digital, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan keusahawanan dalam kalangan peserta.
Dilaksanakan dari Ogos 2024 hingga Julai 2025, program ini diketuai oleh Dr. Juhaida Abu Bakar dengan kerjasama penyelidik iaitu Prof. Madya Dr. Logasvathi Murugiah, Dr. Ziad Esa Yazid dan Dr. Fodli Hamzah dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, manakala Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan.
Setiap ahli pasukan memainkan peranan dalam menyampaikan ilmu dan kemahiran mengikut kepakaran masing-masing – dari aspek kewangan, keusahawanan hingga strategi pemasaran digital.
Bagi meningkatkan kemahiran jahitan peserta, rakan strategik industri iaitu Studio Jahitan ANA telah memberikan khidmat latihan kepakaran dalam bidang yang ditawarkan kepada peserta, merangkumi enam modul utama yang disusun secara progresif iaitu Jahitan Baju Kurung Moden (Kain A), Jahitan Baju Kurung Moden (Kain Selisih), Jahitan Baju Kedah Moden (Kain Selisih), Jahitan Jubah dan Dress dan Jahitan Baju Kemeja.
Dr. Juhaida berkata, modul-modul ini direka untuk membina kemahiran asas hingga lanjutan, membolehkan peserta menghasilkan pelbagai jenis pakaian yang mempunyai nilai komersial tinggi, sekali gus membina keyakinan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.
“Impak projek terhadap komuniti jelas terbukti menerusi peningkatan ketara dalam pendapatan peserta dan peluang ekonomi yang berjaya diwujudkan,” katanya.
Kesemua 10 peserta telah mula menjana pendapatan hasil daripada kemahiran jahitan yang diperoleh sepanjang program, menunjukkan keberkesanan latihan yang ditawarkan. Antara kejayaan yang paling membanggakan ialah kisah Monthathip Cham Ren, yang kini berkhidmat sebagai guru jahitan di kawasan Parit Panjang, Baling. Beliau menerima pendapatan tetap antara RM1,300 hingga RM2,500 sebulan, bergantung kepada tempahan dan sesi latihan yang dijalankan.
Mothathip berkata, pencapaian ini membuktikan bahawa program bukan sekadar latihan, malah membuka ruang kepada peluang kerjaya yang lebih stabil dan konsisten.
“Saya tidak pernah sangka boleh menjadi guru jahitan. Dulu saya hanya menjahit untuk keluarga, sekarang saya mengajar orang lain dan menjana pendapatan sendiri. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Transformasi Monthathip membuktikan bahawa dengan sokongan yang betul, wanita luar bandar juga mampu mencipta peluang, menjana pendapatan, dan menjadi ejen perubahan dalam komuniti mereka.
Selain itu, dua peserta turut menerima sumbangan mesin jahit industri bernilai RM3,000 setiap satu daripada pihak All-Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM-SDG), yang membantu mereka memulakan operasi kecil-kecilan dari rumah. Sokongan dari segi infrastruktur ini telah mempercepatkan proses penghasilan produk dan meningkatkan produktiviti peserta.
Lebih penting lagi, projek ini telah melibatkan pemindahan ilmu secara berstruktur oleh tenaga akademik yang berpengalaman. Peserta menerima pendedahan langsung dalam bidang keusahawanan, pengurusan kewangan dan pemasaran digital, sekali gus membina keyakinan diri dan memperkukuh pengetahuan yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan secara berdikari.
Dengan gabungan kemahiran praktikal, sokongan sumber, dan bimbingan kepakaran, projek ini telah memberi kesan positif dan mampan terhadap pembangunan ekonomi komuniti wanita rentan di Baling, bukan sekadar latihan kemahiran, projek ini telah berjaya mengubah kehidupan peserta dengan memberi mereka akses kepada sumber pendapatan baharu, memperkukuh kestabilan kewangan keluarga, dan membina keyakinan untuk berdikari.
Dr. Juhaida berkata, projek ini bukan sahaja membekalkan kemahiran, malah membuka ruang baharu kepada wanita luar bandar untuk berdikari dan berkembang sebagai usahawan mikro yang berjaya.
Dengan kejayaan awal ini, projek ini mempunyai potensi besar untuk diperluas ke daerah lain dan menjadi model rujukan untuk pemerkasaan komuniti melalui pendekatan bersepadu antara akademia dan komuniti.
Peserta turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada CUIC serta UUM atas inisiatif murni yang telah membuka ruang dan peluang kepada komuniti Baling, khususnya golongan wanita rentan, untuk memperoleh kemahiran berharga serta menjana pendapatan berterusan.
Mereka menyifatkan program ini sebagai satu titik tolak kepada perubahan hidup yang lebih positif dan bermakna, hasil daripada sokongan dan keprihatinan pihak universiti terhadap pembangunan komuniti luar bandar. – Kaswizawati Md Basir