Campus

Kem MyInsaniah IPT Zon Utara 2025 serlah potensi kepimpinan mahasiswa UUM

Gambar oleh Muhammad Kamil Yazid

PULAU PINAG, 27 Julai 2025: Program Kem MyInsaniah (Modul Kepimpinan) IPT Zon Utara 2025 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berlangsung di Kem White Resort, Balik Pulau dari 25 hingga 27 Julai lalu berjaya mencungkil potensi kepimpinan dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dari zon utara tanah air.

Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghantar seramai 18 orang peserta daripada pelbagai latar belakang pusat pengajian yang diiringi oleh Muhammad Kamil Yazid dari Pusat Islam UUM selaku pegawai pengiring.

Program ini dilaksanakan dengan objektif membentuk kepimpinan belia Islam yang berteras kepada prinsip Ihsan dan Qawiyyul Amin, di samping memperkukuh penghayatan nilai Rabbani, daya tahan serta kompetensi dalam menghadapi cabaran semasa.

Menurut salah seorang peserta, Mohammad Hidayat bin Alimin,

“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyertai program ini. Ia bukan sekadar mencorak cara berfikir secara kritis, malah membimbing kami untuk memahami erti kepimpinan dalam kerangka Islam yang sebenar iaitu kepimpinan yang berlandaskan amanah, integriti dan nilai-nilai Rabbani.”

Seorang lagi peserta, Wan Nur Sharmime Wan Ahmad turut menyuarakan pandangannya,

“Saya percaya program sebegini wajar diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai mahasiswa mendapat manfaat dan mampu menjadi agen perubahan dalam warga kampus masing-masing.”

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri menzahirkan harapan agar penyertaan UUM dalam program seperti ini terus diperkasa dari semasa ke semasa.

“Saya berharap mahasiswa yang terpilih bukan sahaja menerima manfaat daripada program ini, malah dapat menyebarluaskan nilai dan ilmu yang diperoleh kepada rakan-rakan di kampus. Inilah antara langkah kecil tetapi signifikan dalam membina generasi pemimpin Islam yang cemerlang,” ujarnya.

Program ini bukan sahaja menjadi wahana pembelajaran di luar bilik kuliah, malah membuka ruang jaringan ukhuwah dan kerjasama antara mahasiswa pelbagai latar belakang IPT dalam suasana yang harmoni dan berjiwa besar.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button