Sports

UUM cemerlang di Peringkat Kumpulan Kejohanan Sukan Badan Berkanun 2025

Gambar Norhamizah Hashim

SERI ISKANDAR, 11 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menunjukkan prestasi cemerlang dalam perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Sukan Badan Berkanun 2025 yang berlangsung di UiTM Seri Iskandar, Perak dari 7 hingga 12 September setakat ini.

Perlawanan badminton yang diadakan di Manjong Badminton Arena menyaksikan pasukan UUM berjaya menewaskan dua lawan utama mereka.

Dalam perlawanan pertama menentang PERKESO, UUM mencatat kemenangan tipis 3-2. Seterusnya, UUM mempamerkan aksi dominan apabila menundukkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan keputusan 5-0.

Hasil daripada dua kemenangan tersebut, UUM layak ke peringkat suku akhir pada hari ketiga kejohanan.

Perlawanan suku akhir dijadualkan berlangsung jam 3 petang hari ini di gelanggang yang sama.

Pengurus pasukan, Azizan Aziz melahirkan rasa bangga atas pencapaian pasukan setakat ini dan berharap agar pemain dapat mengekalkan fokus serta meneruskan rentak kemenangan ke peringkat seterusnya.

“Kami gembira dengan pencapaian pasukan setakat ini. Harapan saya, mereka terus kekal fokus dan berikan yang terbaik dalam perlawanan suku akhir nanti,” katanya.

Kejohanan ini menghimpunkan pelbagai agensi badan berkanun dari seluruh negara, sekali gus menjadi medan penting untuk membina jaringan serta semangat kesukanan antara penjawat awam. – Mohamad Nizwan Awang

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button