Campus

Projek V-Book 360° Sekolah Kebangsaan Seri Samudera, Seri Manjung, Perak dinobatkan juara keseluruhan INDELIB 2025

Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 6 Oktober 2025:  Inovasi pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Samudera, Seri Manjung, Perak berjaya mencuri tumpuan apabila projek V-Book 360° dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan (Best of the Best) pada pertandingan International Innovation and Design in Library and Information Science (INDELIB 2025) yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kemenangan ini mengangkat SK Seri Samudera sebagai peneraju idea inovatif dalam kalangan pelajar sekolah, hasil projek yang dinilai kreatif, berimpak tinggi serta berpotensi untuk dikembangkan pada skala lebih luas.

Projek V-Book 360° merupakan antara sepuluh projek sekolah yang bertanding dalam kategori pelajar. Inovasi ini berjaya mengetengahkan pendekatan baharu dalam penyampaian maklumat dan pembelajaran melalui gabungan teknologi realiti maya serta interaktiviti pengguna, sejajar dengan keperluan pembelajaran era digital.

Majlis Perasmian Penutupan INDELIB 2025 yang berlangsung di Dewan Tan Sri Othman, UUM disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Dalam ucapan beliau, Naib Canselor merakamkan penghargaan kepada UiTM Cawangan Kedah dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) atas kejayaan menganjurkan program edisi ketujuh ini.

Menurutnya, kejayaan INDELIB 2025 mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua institusi dalam mencetuskan idea serta inovasi  terkini yang menyokong pembangunan kepustakawanan dan pengukuhan ekosistem maklumat negara.

“Program seperti INDELIB mampu menjadi platform pemerkasaan ilmu serta ruang perkongsian idea kreatif dan inovatif antara warga akademik, pelajar serta profesional dalam bidang maklumat dan teknologi,” katanya.

INDELIB yang mula dianjurkan pada tahun 2017 merupakan hasil kolaborasi antara Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Kedah dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM.

Penganjuran tahunan ini menjadi platform pertemuan pelbagai pihak bagi mengetengahkan hasil inovasi, bertukar idea, dan memperkasa bidang sains maklumat serta reka bentuk perpustakaan dalam menghadapi cabaran era digital.

Pertandingan tahun ini dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu:

  1. Organisasi
  2. Profesional
  3. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
  4. Pelajar Sekolah

Senarai Pemenang Mengikut Kategori

Kategori Organisasi:

  1. STAR@GPM
  2. Berita Semasa Pulau Pinang (Lapan Sumber Utama Nasional)

Kategori Profesional:

  1. Tuanku Bainun Library X ChatGPT: Harnessing the Power of OpenAI
  2. BDA-LibCap
  3. Beyond Walls: Transforming TVET Library Engagement with The Al-Khwarizmi 360° Virtual Tour.

Kategori IPTA :

  1. BantuBiz
  2. Applied History Flip Kit (AHFK)

Kategori Sekolah :

  1. V-Book 360°
  2. Augmented Reality Microscope (AIM)
  3. 2 in 1 EoAeroGuard
  4. LibGo!: Knowledge on the Move
  5. BIMLI
  6. Assistive Distance Measurement for Blind and Visually Impaired Individuals
  7. Sabun Minyak Terpakai
  8. Arabic FunNotes
  9. SmartPSS
  10. iShelfTrack

INDELIB 2025 bukan sahaja menjadi wadah pertukaran ilmu dan inovasi, tetapi turut membuka peluang kerjasama strategik antara institusi, penyelidik dan pemain industri bagi memperkukuh ekosistem kepustakawanan serta reka bentuk maklumat negara.

Turut hadir, Prof. Madya Dr. Mohd Rizaimy Shahrudin, Timbalan Rektor Penyelidikan, Hubungan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM Cawangan Kedah serta ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button