Pemantapan kemahiran penulisan Bahasa Inggeris melalui Program POTENSI 2025 di SMK Seri Pantai
Berita dan gambar Rabiatul Athirah Abdul Rahman dan Syed Haikal Syafiq Syed Mohd Fazli (Pelajar Sarjana Pendidikan)
KUALA KEDAH, 28 Oktober 2025: Program Pembangunan Potensi Pelajar (POTENSI) bagi subjek Bahasa Inggeris telah diteruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini memberi tumpuan kepada pelajar Tingkatan 5 yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Cemerlang dan Kumpulan Skor A+.

Dua tenaga pengajar, termasuk Dr. Faizahani Abd Rahman, bersama dua fasilitator daripada UUM turut memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar.
Dr. Faizahani berkata, objektif utama program adalah untuk membantu pelajar menguasai kemahiran penulisan e-mel berformat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan lebih berkesan.
Menurutnya, melalui pendekatan berperingkat, pelajar terlebih dahulu dibimbing oleh fasilitator sebelum menulis dua hingga tiga e-mel secara kendiri mengikut tahap masing-masing.

“Sesi dijalankan secara interaktif, memberi peluang kepada pelajar untuk membina keyakinan diri serta memperkukuh kemahiran menulis melalui bimbingan berfokus.
“Pendekatan bimbingan berfokus amat penting bagi membantu pelajar memahami proses penulisan dengan lebih mendalam serta meningkatkan keupayaan mereka menghasilkan penulisan yang lebih berkualiti,” katanya.
Impak program jelas dapat dilihat apabila para pelajar menunjukkan peningkatan dari segi kefahaman terhadap format e-mel SPM, keyakinan dalam menulis ayat yang betul, serta kemampuan menyusun isi dengan lebih teratur.
Sebelum program berakhir, satu tayangan video khas memaparkan perjalanan sepanjang sesi POTENSI Bahasa Inggeris 2025 telah dipersembahkan kepada semua pelajar.

Majlis diakhiri dengan ucapan motivasi daripada fasilitator UUM, yang menitipkan kata-kata semangat kepada pelajar untuk terus berusaha dan menghadapi peperiksaan SPM dengan yakin serta berjiwa positif.
Sebagai kesinambungan, UUM merancang untuk meneruskan program POTENSI bagi subjek lain di sekolah berkenaan, selaras dengan komitmen universiti dalam memperkukuh jalinan komuniti dan menyokong kecemerlangan pendidikan di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani.



