Education

Pelajar SOC perkasa diri di Finexus

Gambar SOC dan Finexus

PULAU PINANG, 28 Oktober 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan industri ke Finexus Group, sebagai usaha memperkukuhkan hubungan akademik dan industri serta meningkatkan kesediaan kerjaya pelajar dalam bidang teknologi maklumat dan sains komputer.

Program ini disertai oleh 25 pelajar dari SOC yang diiringi oleh pensyarah, Dr. Nordaliza Zulkifli dengan sokongan padu daripada pihak Finexus yang menyediakan pelbagai sesi perkongsian ilmu dan pembangunan kerjaya.

Sesi pengenalan bersama Finexus Group membuka tirai lawatan dengan perkongsian mengenai operasi dan peranan syarikat dalam ekosistem penyelesaian IT serta perkhidmatan kewangan digital di Malaysia, sekali gus memberi pendedahan kepada pelajar tentang aplikasi teknologi dalam sistem pembayaran, keselamatan data dan transformasi digital korporat.

Jurutera Pembelajaran Mesin Kanan, Loh Jing Zhi, melalui perkongsian bertajuk Turning Assignments into Assets: Building a Career-Ready Portfolio memberi penekanan kepada kepentingan membina portfolio profesional menggunakan GitHub sebagai platform utama di samping berkongsi contoh templat, panduan memilih bidang kemahiran yang relevan dengan minat dan keperluan pasaran kerja serta dorongan untuk melibatkan diri dalam komuniti dan platform industri bagi memperkukuh jaringan profesional dan potensi kerjaya pelajar.

Bagi perkongsian oleh Pakar Pengambilan Bakat, Nur Hani Dayana Tambizi yang juga alumni UUM menampilkan topik Future Ready Resume: Crafting Your First Impression memfokuskan kepada teknik penulisan dan penyediaan resume yang berkesan bagi membantu pelajar menyerlah dalam persaingan dunia kerjaya masa kini.

Menariknya, sesi ini turut disertakan dengan semakan resume secara langsung di mana wakil Finexus memberikan maklum balas serta panduan praktikal kepada pelajar dalam memperkemas kandungan dan menonjolkan kelebihan diri bagi meningkatkan daya tarikan kepada majikan.

Sementara itu, Dr. Nordaliza merakamkan penghargaan kepada pihak Finexus atas peluang berharga yang diberikan serta menegaskan bahawa program seumpama ini amat signifikan dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan SOC dan mempersiapkan mereka menghadapi realiti dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

Menurutnya, lawatan ini berjaya memberikan pendedahan industri yang bermakna, di samping menggalakkan pelajar membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta kesedaran terhadap keperluan sebenar dunia kerjaya masa kini. – Muhammad Syafiq Suhairy (Pelajar Program Sarjana Muda Sains Komputer)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button