Dua produk inovasi STML raih tumpuan nasional di FOI Putrajaya 2025
Gambar Jawatankuasa Media dan ICT STML
PUTRAJAYA, 17 November 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) sekali lagi tampil menyerlah melalui penyertaan aktif di Festival of Idea (FOI) Putrajaya 2025, yang berlangsung dari 4 hingga 8 November lalu di International Arena, Putra Hall A, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Festival berprestij ini berperanan sebagai platform penting bagi mengiktiraf sumbangan warga akademik dalam penghasilan idea inovatif yang menyokong aspirasi Malaysia MADANI berteraskan pengetahuan, inovasi dan kelestarian.

Produk pertama yang dipamerkan oleh penyelidik STML ialah EZEE DIY Aquaponics Automation System (EDAAS), oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi. Sistem ini mengetengahkan konsep pertanian akuaponik pintar melalui penggunaan teknologi automasi dan pemantauan IoT.
EDAAS direka bentuk bagi membantu pengguna mengusahakan pertanian di ruang terhad dengan memanfaatkan air kitar semula daripada kolam ikan, sekali gus menjimatkan sumber dan menyokong amalan mesra alam.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail bersama pasukan penyelidik Food Security, Innovation and Development Research (FInDER) mempamerkan projek inovatif berasaskan buah gac melalui kajian bertajuk “Gac Fruit Innovations: From Laboratory to The Community”.

Penyelidikan ini mengangkat potensi buah gac (Momordica cochinchinensis) dalam pembangunan produk nutraseutikal dan kosmetik. Usaha FInDER tidak hanya berfokus kepada penghasilan produk, tetapi turut memperkasakan komuniti terpinggir termasuk OKU melalui penglibatan mereka dalam pertanian bernilai tinggi berasaskan tanaman gac yang kaya manfaat kesihatan dan mempunyai nilai komersial yang besar.
Penyertaan penyelidik STML pada festival berperingkat nasional ini membuktikan komitmen berterusan STML dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan masyarakat.
Ia sekali gus menegaskan peranan penting STML dalam membangunkan inovasi praktikal yang memberi impak positif kepada komuniti dan industri. – Ts. Dr. Fadhilah Mat Yamin



