Campus

Sempena musim peperiksaan, 1,000 ResQ Pek MADANI ringankan beban pelajar B40 UUM

Gambar Majlis Pengetua Inasis

SINTOK, 26 Januari 2026: Sebanyak 1,000 ResQ Pek MADANI berasaskan teknologi pemprosesan makanan retort diagihkan kepada pelajar kategori B40 dan golongan rentan di 16 Inapan Siswa (Inasis), Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena musim peperiksaan sebagai usaha memperkukuh jaringan keselamatan makanan di kampus.

Agihan itu dilaksanakan menerusi pendekatan jelajah ke setiap Inasis bagi memastikan bantuan makanan sedia dimakan yang berkhasiat sampai terus kepada pelajar yang dikenal pasti memerlukan secara tersusun, sistematik dan berimpak tinggi, khususnya bagi membantu pelajar mengekalkan fokus serta kesejahteraan sepanjang tempoh peperiksaan.

Inisiatif berkenaan merupakan usaha bersama Majlis Pengetua Inasis menerusi Biro Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM, selaras agenda kebajikan pelajar universiti dalam menangani peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan kepada pelajar, terutama daripada kelompok B40 dan golongan rentan.

Pelaksanaan program itu turut mendapat sokongan padu Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang menzahirkan komitmen pengurusan tertinggi universiti terhadap usaha memperkukuhkan kesejahteraan pelajar melalui pendekatan bantuan makanan yang lebih mampan dan berimpak tinggi.

Agihan ResQ Pek MADANI digerakkan oleh sukarelawan Dapur Siswa MADANI yang terdiri daripada pelajar Inasis PROTON, MAS dan Bank Islam dengan sokongan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sekali gus mencerminkan sinergi kukuh antara pihak pengurusan universiti dan pelajar.

Pengerusi Majlis Pengetua Inasis, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin berkata, fasa pertama pelaksanaan menyaksikan penyediaan ResQ Pek MADANI dilaksanakan dengan kerjasama komuniti Bukit Tangga dan Kampung Tradisi, khususnya dalam proses penyediaan masakan serta pembungkusan makanan menggunakan teknologi retort.

“Komuniti ini mempunyai pengalaman menghasilkan produk makanan retort hasil penyertaan dalam latihan Geran Inovasi Sosial bersama pensyarah UUM, sekali gus memastikan aspek kualiti, keselamatan dan nilai nutrisi makanan yang diagihkan berada pada tahap optimum,” katanya.

Dr. Mohd Abidzar berkata, pada fasa seterusnya, keseluruhan proses penyediaan dan pembungkusan ResQ Pek MADANI secara retort akan dilaksanakan sepenuhnya di Dapur Siswa MADANI selepas penerimaan dua mesin retort yang akan dibekalkan oleh Pusat Zakat dan Wakaf UUM menerusi wakaf daripada Public Islamic Bank Bhd (PIBB).

Menurutnya, langkah ini bukan sahaja membolehkan pengeluaran makanan dilaksanakan secara lebih berdikari dan mampan, malah membuka ruang latihan kemahiran kepada pelajar serta memperkukuh peranan Dapur Siswa MADANI sebagai pusat keselamatan makanan kampus.

Agihan ResQ Pek MADANI dijangka diteruskan secara berfasa dengan sasaran memperluas liputan kepada lebih ramai pelajar B40 dan golongan rentan bagi memastikan kebajikan mahasiswa UUM terus terpelihara sepanjang tempoh pengajian mereka.

Sehubungan itu, alumni UUM serta orang ramai yang berhasrat untuk berinfaq dan menyumbang bagi menyokong kelangsungan Dapur Siswa MADANI boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Universiti Utara Malaysia untuk maklumat lanjut. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button