Kebajikan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) jamin akses pendidikan yang adil dan saksama di Universiti Utara Malaysia
Norain Adani Rozilani, Pelajar dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML)
Pendidikan inklusif merupakan salah satu agenda utama pembangunan pendidikan tinggi negara bertujuan memastikan kesaksamaan peluang kepada semua golongan pelajar termasuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU). Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai dasar, strategi, dan inisiatif untuk menjamin akses pendidikan yang adil dan saksama bagi golongan ini.
Antaranya termasuk Akta OKU 2008, Pelan Strategik Pendidikan Tinggi dan dasar universiti yang menekankan prinsip kesaksamaan dan inklusiviti. Seiring dengan usaha tersebut, institusi pengajian tinggi seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) mempunyai peranan penting dalam menterjemahkan dasar inklusif kepada pelaksanaan di peringkat kampus. Matlamatnya adalah memastikan setiap pelajar, tanpa mengira kemampuan fizikal atau keperluan khas, mendapat peluang pendidikan yang setara dan selesa, serta persekitaran pembelajaran yang menyokong perkembangan akademik dan sosial mereka.

Di UUM, pelbagai inisiatif kebajikan telah dilaksanakan untuk menyokong keperluan akademik, mobiliti, dan kesejahteraan pelajar OKU. Contohnya, kemudahan fasiliti dan penginapan mesra OKU, laluan kerusi roda, serta penyelarasan bantuan kewangan bagi pelajar yang memerlukan. Walau bagaimanapun, walaupun usaha ini wujud, terdapat beberapa isu dan cabaran yang masih memerlukan perhatian berterusan agar persekitaran kampus benar-benar kondusif, mesra OKU, dan inklusif.
Sebagai persatuan mahasiswa istimewa, PERMAI sentiasa berusaha menjadi suara pelajar OKU dengan menyampaikan cadangan penambahbaikan, memantau pelaksanaan dasar, dan mendorong pihak universiti untuk memperkukuh kemudahan, akses akademik, dan sokongan sosial. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap pelajar OKU dapat belajar dengan selesa, bebas tekanan, dan berpeluang mencapai potensi penuh mereka di UUM.
Berdasarkan maklum balas daripada pelI, beberapa isu utama masih menimbulkan cabaran. Pertama ialah pengiktirafan status OKU dalam semua sistem universiti seperti Portal UUM, UUMIT, Pusat Penginapan Pelajar (SAC), dan Inapan Siswa (Inasis). Kekurangan konsistensi ini menyebabkan hak dan keperluan pelajar OKU kadang-kadang tidak diiktiraf sepenuhnya. Akibatnya, sebahagian pelajar menghadapi kesukaran mendapatkan akses kepada kemudahan khas, pengaturan peperiksaan, dan sokongan pembelajaran. Kedua ialah penyelarasan peperiksaan khas dan kemudahan akademik yang masih belum sistematik. Contohnya, bilik khas, masa tambahan, dan peranti sokongan yang diperlukan untuk memastikan peperiksaan adil kadang-kadang tidak mencukupi. Situasi ini menimbulkan tekanan mental dan fizikal kepada pelajar, terutamanya apabila mereka perlu berpindah jauh dari fakulti atau menghadapi kekurangan peralatan pembelajaran yang sesuai.
Isu ketiga berkaitan pengangkutan dan mobiliti di kampus. Penggunaan van OKU yang tidak eksklusif kepada pelajar OKU serta pengenaan yuran tambahan menyukarkan pergerakan mereka. Hal ini menjejaskan peluang pelajar untuk menghadiri kuliah, seminar, dan aktiviti kokurikulum, sekaligus mengurangkan peluang mereka memperoleh pengalaman holistik di universiti. Keempat, penempatan pelajar OKU di inasis yang jauh dari fasiliti utama seperti perpustakaan, dewan kuliah, pusat pembelajaran, dan kemudahan sukan memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan harian, produktiviti, dan keterlibatan sosial pelajar. Masalah penyelenggaraan bilik dan kemudahan asas yang masih memerlukan perhatian juga memberi tekanan tambahan.

Selain itu, isu diskriminasi dan akses akademik turut menimbulkan cabaran. Kekangan penggunaan kad matrik untuk akses kenderaan tertentu, laporan diskriminasi oleh sebahagian pensyarah, dan keperluan masa tambahan bagi menyiapkan tugasan akademik adalah antara contoh situasi yang memberi impak negatif terhadap pengalaman pembelajaran pelajar OKU. PERMAI menekankan bahawa kesedaran staf dan pelajar tentang hak-hak golongan OKU adalah sangat penting untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan bebas diskriminasi.
Untuk menangani cabaran-cabaran ini, PERMAI mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan yang holistik dan sistematik. Penubuhan jabatan khas OKU di universiti dapat menyelaraskan kebajikan, kemudahan, dan sokongan akademik secara berpusat. Infrastruktur mesra OKU seperti laluan kerusi roda, lif tambahan, kerusi roda elektrik, mesin Braille, pencetak khas, dan peranti sokongan pembelajaran harus diperluas dan dipertingkat. Sokongan mobiliti juga boleh diperkuatkan melalui kad parkir khas OKU dan penyediaan pemandu khusus bagi pelajar yang memerlukan.
Dari segi akademik dan kewangan, PERMAI menggalakkan penerbitan buku garis panduan OKU universiti, latihan kesedaran untuk pensyarah dan staf, serta cadangan potongan yuran sehingga 50 peratus bagi meringankan beban pelajar. Program sosial dan penglibatan komuniti juga penting. Aktiviti seperti Town Hall Inklusif, Roundtable PWD, lawatan penanda aras ke institusi lain seperti Universiti Islan Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Sambutan Hari Raya OKU membantu memperkukuhkan jaringan sosial, meningkatkan kefahaman warga kampus, dan membina budaya inklusif.
Sebagai Presiden PERMAI, saya percaya bahawa penyelarasan sistem universiti, peningkatan kemudahan fizikal, sokongan akademik, dan penglibatan aktif persatuan pelajar adalah elemen penting untuk memastikan UUM menjadi kampus mesra OKU. Dengan kerjasama erat antara universiti, persatuan pelajar, dan pihak berkepentingan, pengalaman pembelajaran pelajar OKU dapat diperkukuhkan.
Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan pelajar, tetapi juga membentuk budaya kampus yang inklusif, prihatin, dan berdaya huni, seterusnya menyokong pembangunan generasi pelajar yang berkemampuan, berdikari, dan berdaya saing di masa hadapan.



