General

Adab teras pembinaan universiti, bukan sekadar kecemerlangan akademik

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 2 Februari 2026: Universiti perlu menekankan pembinaan adab sebagai asas utama dalam melahirkan warga akademia dan pelajar yang seimbang dari segi ilmu dan sahsiah, bukan sekadar cemerlang dalam pencapaian akademik semata-mata.

Menyampaikan amanat dengan tema ‘Menjulang lmu, Mengakar Adab’, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, adab merupakan pegangan penting dalam membentuk ekosistem kampus yang harmoni, saling menghormati dan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat.

Menurutnya, universiti tidak mahu melahirkan cendekiawan yang tinggi ilmunya tetapi kurang adab, sebaliknya mahu melahirkan individu berilmu tinggi yang turut memiliki nilai sopan santun, salng menghormati serta berkeupayaan menegur dengan berhemah sama ada dalam kalangan rakan sejawat, pelajar mahupun pentadbir.

“Nilai adab ini merangkumi sikap saling menghormati, keupayaan menerima perbezaan pandangan, budaya, agama dan latar belakang serta kepekaan dalam berinteraksi sesama warga kampus,” katanya di Majlis Amanat Naib Canselor dan Penyampaian Watikah Penjawat Utama UUM 2026 di EDC-UUM, tadi.

Beliau turut memaklumkan bahawa penekanan terhadap adab selari dengan aspirasi menjadikan universiti sebagai institusi terbaik, bukan sahaja dari segi kecemerlangan akademik dan bidang tujahan, malah dari segi kualiti individu yang menerajui bidang tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, pandangan dan amanat Menteri Pendidikan Tinggi serta Ketua Setiausaha Negara termasuk Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 akan dirumus dan dijadikan sebahagian daripada pelan strategik universiti.

Antara lapan inisiatif utama pendidikan tinggi yang diberi perhatian ialah jaminan tempat kepada pelajar cemerlang, pendidikan percuma kepada pelajar orang kurang upaya (OKU), penambahbaikan kebajikan serta penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Sehubungan itu, beliau meminta semua ketua jabatan agar lebih sensitif dan memberi perhatian serius terhadap keperluan pelajar OKU selaras dengan komitmen kerajaan dalam meningkatkan akses dan kebajikan golongan berkenaan.

Universiti juga merancang menubuhkan jabatan khusus OKU bagi memastikan kebajikan bukan sahaja pelajar, malah staf OKU turut terpelihara dengan lebih sistematik.

Selain itu, usaha penambahan kemudahan penginapan pelajar sedang dibincangkan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di samping pemerkasaan mata pelajaran umum (MPU) termasuk sejarah sebagai elemen penting pembentukan jati diri dan hala tuju masa depan negara.

Beliau turut menggalakkan pakar sejarah di universiti agar tampil menulis dan berkongsi pandangan di media mengenai kepentingan sejarah kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Dalam konteks tujahan Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Ahmad Martadha menjelaskan fokus turut diberikan kepada peranan akademia sebagai pembina bangsa serta agenda kemenjadian siswa melalui keupayaan pelajar dalam proses membuat keputusan universiti.

“Pelajar ini perlu diberi ruang untuk terlibat secara langsung, sama ada dalam jawatankuasa universiti, hal ehwal pelajar mahupun platform kepimpinan agar mereka lahir sebagai graduan yang berdaya tahan, berdikari dan beradab.

“Penekanan terhadap keseimbangan ilmu dan adab ini diyakini mampu melahirkan masyarakat bertamadun yang bukan sahaja maju dari segi fizikal dan intelektual, malah kukuh dengan nilai tradisi dan adab ketimuran,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dr. Ahmad Martadha turut menyampaikan watikah pelantikan penjawat utama bagi tahun 2026.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah serta Bursar, Mohtar Hasim.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button