Education

UUM perkukuh jalinan diplomasi pendidikan global menerima Majlis Diplomatic Soirée

Gambar Ihsan FB@Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 15 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranan dalam jaringan pendidikan tinggi antarabangsa apabila Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed menghadiri Majlis Diplomatic Soirée anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), semalam.

Majlis yang menghimpunkan Tuan-Tuan Yang Terutama Duta, Pesuruhjaya Tinggi serta wakil kor diplomatik negara luar di Malaysia itu merupakan platform strategik untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan tinggi dan akademik global.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapannya menegaskan bahawa pendidikan kini melangkaui sempadan negara dan menjadi perusahaan bersama di peringkat global, khususnya dalam menghadapi perubahan geopolitik serta ketidaktentuan dunia.

Menurutnya, Malaysia komited membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berdaya saing global serta berteraskan nilai melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang memberi penekanan kepada tadbir urus baik, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) beretika, mobiliti global dan peluasan akses pendidikan berkualiti.

Sementara itu, Dr. Ahmad Martadha berkata, penglibatan UUM dalam platform diplomasi pendidikan seperti ini membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas antara universiti dan rakan antarabangsa khususnya dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar serta pertukaran kepakaran akademik.

“UUM sentiasa komited memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan universiti selaras dengan aspirasi KPT untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya.

Majlis tahunan tersebut turut menzahirkan komitmen berterusan pelbagai pihak termasuk agensi di bawah KPT seperti Education Malaysia Global Services (EMGS), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta perwakilan kedutaan dalam memperkukuhkan diplomasi pendidikan antara negara.

Malaysia kini menjadi destinasi pelajar antarabangsa dari lebih 160 negara, sekali gus mencerminkan kepercayaan global terhadap kualiti dan keupayaan sistem pendidikan tinggi negara. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button