Ramadan sebagai institusi melahirkan pemimpin berjiwa profetik
Berita dan gambar Mohammad Taufiq Othman
SINTOK, 1 Mac 2026: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) telah menganjurkan Wacana IPDM Siri 1/2026 yang mengupas topik kritikal mengenai kepimpinan melalui tajuk “Memartabat Institusi Ramadan & Kepimpinan Profetik” menerusi platform Webex.
Wacana ini menampilkan Felo IPDM, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nor Mamat merangkap Ketua CIDL UiTM sebagai pembicara utama, manakala sesi dikendalikan oleh Pengarah IPDM UUM, Prof. Madya Dr. Mohd Khairudin Kasiran.

Dalam perkongsiannya, Dr. Mohd Nor menekankan bahawa transformasi seorang pemimpin bermula daripada kefahaman mendalam mengenai perbezaan antara sekadar bergelar ‘Muslim’ dengan menghayati nilai ‘Islam’ yang syumul.
Beliau menegaskan bahawa prinsip mengubah diri sendiri adalah lebih utama dan perlu didahulukan sebelum seorang pemimpin menuntut perubahan daripada orang lain atau orang bawahannya.
Ramadan disifatkan sebagai sebuah “Institusi” yang bukan sekadar melatih ketahanan fizikal, malah berfungsi untuk melahirkan pemimpin bertaqwa yang memiliki disiplin diri yang tinggi, meningkatkan kompetensi hati pemimpin bagi membentuk jiwa yang zuhud serta akhlak yang mulia dan membentuk kualiti ‘Ihsan’ sebagai teras dalam setiap tindakan kepimpinan.
Wacana ini turut memperincikan Kepimpinan Profetik yang merujuk kepada empat sifat utama Rasulullah SAW iaitu Siddiq (Benar), Amanah, Tabligh (Menyampaikan), dan Fatonah (Bijaksana).
Pemimpin diingatkan agar menjauhi empat ciri “penyakit” munafik yang merosakkan organisasi iaitu bohong dalam kata-kata, melakukan perkara mungkar, melakukan khianat terhadap amanah dan bertindak secara melampau.

Menyentuh aspek kualiti hidup, penceramah berkongsi bahawa pemimpin yang efektif adalah mereka yang bijak memperuntukkan masa secara adil untuk kerja, keluarga, dan masyarakat.
Beliau mencadangkan formula pembahagian masa kepada tiga bahagian utama iaitu 8 Jam untuk Kerja: Dedikasi penuh kepada tugas profesional, 8 Jam untuk Tidur: Rehat yang cukup untuk kecerdasan mental dan 8 Jam untuk Diri & Keluarga: Memenuhi tanggungjawab sosial dan peribadi.
Program ini diharapkan dapat memberikan anjakan paradigma kepada seluruh warga universiti dalam menterjemahkan ibadah puasa kepada peningkatan kualiti kepimpinan yang berintegriti tinggi demi kelestarian universiti dan negara.



