Education

ICEISR 2026 bukti kejayaan perkongsian akademik rentas negara dalam transformasi pendidikan AI

Gambar Dr. Nor Fauzian Kassim

HATYAI, 5 Mei 2026: Persidangan antarabangsa berprestij ‘10th International Conference on Education, Islamic Studies and Social Science Research’ (ICEISR 2026) berjaya menghimpunkan  sarjana, penyelidik dan pengamal pendidikan dari pelbagai negara dalam satu platform ilmiah yang dinamik di Yannaty Hotel, Hat Yai, Thailand.

Persidangan anjuran Association of Malaysian Researchers and Social Services (AMRASS) dengan kerjasama Fakulti Pendidikan, Prince of Songkla University (PSU-Pattani Campus) serta Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) ini mengangkat tema “Empowering Global Education in the Artificial Intelligence Era”, selari dengan keperluan transformasi pendidikan global berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Majlis pembukaan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi AMRASS, Prof. Dr. Azman Che Mat, diikuti ucapan wakil institusi penganjur termasuk Dekan SOE, UUM. Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman serta Dekan Fakulti Pendidikan, PSU, Prof. Madya Dr. Afifi Lateh.

Sesi pembukaan dirasmikan oleh Penasihat AMRASS, Prof. Dr. Siti Noor Ismail yang juga merupakan Pengarah UTLC, UUM, disusuli dengan ucap utama oleh Prof. Dr. Arumugam Raman juga dari SOE, UUM yang mengupas tajuk “Redefining Research Methodology and Pedagogy in the Era of AI” memberi penekanan terhadap integrasi teknologi AI dalam memperkukuh metodologi penyelidikan dan pedagogi moden.

Pengerusi AMRASS, PDr. Azman berkata, ICEISR 2026 berfungsi sebagai platform penting bagi memperkukuhkan kolaboratif dalam kalangan peserta, pertukaran idea serta penghasilan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pendidikan, Pengajian Islam dan sains sosial.

Persidangan ini turut menghimpunkan komuniti akademik global bagi membincangkan isu-isu semasa serta hala tuju masa depan pendidikan dalam era digital dan AI.

Sementara itu, Dr. Mohamad Khairi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan persidangan ini, di samping menekankan kepentingan jaringan strategik rentas negara dalam memperkasakan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif dan progresif.

Sepanjang program, peserta terlibat dalam pelbagai sesi termasuk plenari, pembentangan selari (parallel sessions), diskusi akademik  yang merangkumi pelbagai topik seperti kepimpinan pendidikan, teknologi dalam pengajaran, Pendidikan Islam dan sains sosial.

Persidangan kali ke-10 ini turut diperkasakan dengan pembentangan Kajian Tindakan (Action Research) serta pertandingan inovasi kurikulum dan pedagogi. Kepelbagaian bidang ini mencerminkan sifat multi disiplin merentas negara yang menjadi kekuatan utama persidangan. ICEISR 2026.

Menariknya, ICEISR 2026 ini telah berjaya menghimpunkan seramai 80 peserta dalam kalangan ahli akdemik dari pelbagai institusi pendidikan selain PSU dan UUM.

Selain itu, persidangan ini turut menawarkan peluang penerbitan kepada penyelidik melalui prosiding persidangan serta cadangan penerbitan dalam jurnal dan bab buku, sekali gus meningkatkan impak penyelidikan pada peringkat antarabangsa.

Penganjuran ICEISR 2026 bukan sahaja berjaya memperkukuhkan jaringan kolaboratif di peringkat global, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan yang lebih responsif dan mampan terhadap cabaran era kecerdasan buatan, selaras dengan aspirasi pendidikan MADANI yang berteraskan inovasi dan nilai kemanusiaan. – Dr. Muhd Zulhilmi Haron dan Dr. Nor Fauzian Kassim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button