Dr. Muslimin juara kejohanan golf piala Tan Sri Azam Baki
Berita dan gambar oleh: Dato’ Mazlan Mohamad, Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM
SERI KEMBANGAN, 24 Mei 2026: Kejohanan Golf Piala Tan Sri Azam Baki 2026 yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club berjaya menghimpunkan seramai 93 peserta daripada pelbagai agensi dan organisasi seluruh negara.
Juara kejohanan bagi edisi tahun ini berjaya disandang oleh Prof Madya Dr Muslimin Wallang, pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia yang mempamerkan aksi cemerlang apabila mengumpul 40 mata untuk menewaskan peserta lain dalam saingan sengit sepanjang pertandingan berlangsung.

Kejohanan anjuran Persatuan Bekas Pegawai SPRM itu berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat kesukanan.
Presiden persatuan, Dato’ Mazlan Mohamad yang juga alumni UUM berkata penganjuran kejohanan tersebut bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli dan jemputan, malah menjadi platform memupuk gaya hidup sihat serta semangat kerjasama strategik antara peserta.
Kejohanan tersebut turut diserikan dengan majlis penyampaian hadiah, cabutan bertuah serta jamuan penghargaan kepada para peserta dan tetamu yang hadir, yang telah disempurnakan sendiri oleh Yang Berbahagia Tan Sri Azam Baki.
Penganjuran program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium memperkukuh jaringan profesional, semangat kesukanan dan ukhuwah dalam kalangan semua pihak yang terlibat.



