Sports

SEFB KANCIL DINOBAT JOHAN PERTANDINGAN BOLING PIALA PNC UUMCOB 2026

Gambar oleh: Hazura Lahmad

 

SINTOK, Pertandingan Boling Piala Penolong Naib Canselor UUM COB 2026 kembali menyemarakkan semangat kebersamaan warga UUMCOB buat tahun keempat penganjurannya. Program tahunan anjuran Pejabat PNC UUMCOB ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat berpasukan serta meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan warga kerja melalui aktiviti riadah.

Berlangsung di Lite Superbowl JB 3, Perlis, pertandingan pada tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 17 pasukan daripada lima Pusat Pengajian UUMCOB, melibatkan seramai 85 orang staf akademik dan pentadbiran. Pertandingan berlangsung dalam suasana meriah dengan persaingan sengit antara pasukan, namun tetap mengekalkan semangat kesukanan dan semangat berpasukan yang tinggi.

Dalam pertandingan kali ini, pasukan SEFB Kancil berjaya muncul sebagai Juara Piala Pusingan PNC UUMCOB 2026 dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM400.00. Tempat kedua pula dimenangi oleh STML Ebonite, manakala SBM Doremifaso menduduki tempat ketiga.

Bagi kategori individu, Anugerah Bowler Terbaik Lelaki telah dimenangi oleh Mohd Ir’fan Shahruddin dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), manakala Anugerah Bowler Terbaik Wanita diraih oleh Dr. Salmah Omar dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML).

Pertandingan kali ini turut diserikan dengan penyertaan Prof. Dr. Selamah Maamor, Penolong Naib Canselor UUMCOB, yang turut beraksi bersama kumpulan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS). Kehadiran beliau bukan sahaja memeriahkan pertandingan, malah menjadi peluang untuk beramah mesra dan berinteraksi secara santai dengan warga kerja daripada pelbagai Pusat Pengajian UUMCOB sepanjang pertandingan berlangsung. Beliau turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. – Nur Hazlina Ghazali

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button