Sports

ATLET GOLF UNIVERSITI WAKILI MALAYSIA KE KEJOHANAN GOLF UNIVERSITI DUNIA FISU 2026

Berita: Soo Hooi Sin

Gambar: Norimah Binti Alias

BANGKOK, 9 November 2026 – Seramai enam atlet golf universiti terpilih mewakili Malaysia dalam Kejohanan Golf Universiti Dunia FISU 2026 (Bangkok 2026 FISU World University Championship Golf) yang berlangsung di Bangkok Golf Club, Thailand.

Kontinjen Malaysia diketuai oleh Akademi Golf Nasional (AGN) dengan diketuai oleh Pengarah AGN, Profesor Madya Dr. Zaherudin Othman, bersama Penolong Pendaftar Kanan, Puan Norimah Alias dan Ketua Jurulatih, Pro Wan Rosni Wan Chik.

Kesemua atlet yang terdiri daripada tiga pemain lelaki dan tiga pemain wanita itu telah selamat tiba di Bangkok pada 7 November 2026.

Enam atlet yang mewakili empat institusi pengajian tinggi (IPT) ialah:

  1. Muhammad Muaz bin Mohd Nadzir – Universiti Utara Malaysia (UUM)
  2. Muhammad Hariz bin Muhammad Hezri – Universiti Utara Malaysia (UUM)
  3. Nor Haqiem bin Nor Hadi – Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  4. Valerie Vanessa Langkab – Universiti Utara Malaysia (UUM)
  5. Siti Nurfarah Fasha binti Mohamad Hasan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  6. Nik Alicia Miriam Kamil binti Nik Fairuz Kamil – Sunway College

Sebagai persediaan menghadapi kejohanan, para atlet memulakan sesi latihan rasmi (practice round) seawal jam 7.00 pagi.

Sesi latihan tersebut merangkumi latihan di kawasan driving range, kawasan permainan jarak dekat (short game area) dan putting green, selain sesi mengenali serta meninjau keseluruhan 18 lubang padang golf termasuk penandaan laluan permainan (course marking).

Program pada hari tersebut turut diteruskan dengan Mesyuarat Teknikal pada jam 1.30 petang, diikuti Majlis Perasmian Kejohanan pada jam 3.30 petang.

Kejohanan anjuran Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU) ini merupakan platform berprestij yang menghimpunkan atlet mahasiswa dari seluruh dunia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Penganjurannya bukan sahaja memberi peluang kepada atlet untuk mempamerkan keupayaan dan kecemerlangan sukan, malah turut menggalakkan hubungan persahabatan serta pertukaran budaya antara negara melalui sukan universiti.

Penyertaan kontinjen Malaysia ini mencerminkan komitmen AGN dalam memperkukuh pembangunan sukan golf universiti serta menyediakan peluang kepada atlet mahasiswa untuk mengembangkan potensi dan membawa nama negara ke pentas antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button