UUM gembleng kepakaran kepimpinan akademik, sasar geran penyelidikan bernilai tinggi
Berita dan gambar Noor Hanis Zainol Abidin
SINTOK, 25 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda penyelidikan dan inovasi menerusi satu sesi perbincangan strategik yang menghimpunkan barisan kepimpinan akademik serta penggerak utama penyelidikan universiti.
Sesi tersebut melibatkan kehadiran mantan Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Fo’ad Sakdan yang juga pensyarah dan Dekan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf.
Dr. Halimah berkata, perbincangan memberi fokus kepada perkembangan projek-projek penyelidikan yang sedang dilaksanakan, selain meneliti status semasa permohonan geran penyelidikan yang sedang berlangsung.

Menurutnya, sesi tersebut turut menjadi platform perkongsian idea dan pandangan strategik berkaitan pengukuhan budaya penyelidikan, jaringan kolaborasi, serta potensi peluasan impak projek kepada komuniti dan industri.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha universiti untuk menembusi geran penyelidikan berskala besar dan bernilai tinggi melalui pendekatan yang lebih strategik serta berfokus.
Dalam hal ini, pengalaman dan kepakaran kepimpinan akademik dimanfaatkan bagi membantu memperkukuhkan hala tuju permohonan geran, khususnya dari aspek strategi, jaringan profesional dan pemetaan potensi kolaborasi.
Perbincangan ini juga dilihat sebagai langkah pertama dalam usaha membawa masuk geran-geran penyelidikan bernilai tinggi ke universiti, khususnya bagi memperkasa aktiviti penyelidikan dan pembangunan akademik di Pusat Pengajian Kerajaan.
Inisiatif ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama penyelidikan, perkongsian kepakaran, serta penglibatan aktif warga pusat pengajian dalam projek-projek berimpak tinggi pada masa hadapan.

Selain itu, sesi berkenaan turut menekankan kepentingan sinergi antara pelbagai pihak di peringkat universiti, termasuk pusat penyelidikan, fakulti dan unit jaringan industri dalam memastikan penyelidikan yang dijalankan lebih berimpak, mampan dan relevan dengan keperluan semasa.
Pendekatan kolaboratif ini juga dilihat mampu meningkatkan daya saing universiti dalam memperoleh geran penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Perjumpaan strategik ini selaras dengan aspirasi UUM untuk terus menjadi institusi yang aktif memacu kecemerlangan penyelidikan, inovasi dan pembangunan masyarakat melalui jaringan kepakaran serta kolaborasi yang lebih menyeluruh.
Hadir sama, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali; Pengarah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Prof. Madya Dr. Rozita Abdul Mutalib; Pengarah Institut Kajian Kerajaan Tempatan (ILGS), Prof. Madya Dr. Nur Syakiran Akmal Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Komuniti dan Jaringan Industri dan pembentang Geran GET.



