Campus

BPMSOC–POSESO perkukuh jalinan strategik dan pemindahan ilmu antara UUM dan UMT

Gambar Media BPMSOC

SINTOK, 5 Mei 2026: Persatuan Pengurusan Awam (BPMSOC), Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Program Jalinan Strategik dan Penanda Aras bersama Kelab Pengurusan Pengajian Polisi (POSESO), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Bilik Seminar, Pusat Pengajian Kerajaan dan sekitar kampus UUM, baru-baru ini.

Program ini menghimpunkan delegasi pelajar dan penasihat dari kedua-dua institusi dengan matlamat memperkukuhkan jaringan strategik antara universiti serta memperkaya pengalaman kepimpinan pelajar dalam konteks pengurusan awam.

Inisiatif ini juga berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik yang mampu meningkatkan kompetensi serta kefahaman pelajar terhadap tadbir urus yang efektif.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Penasihat BPMSOC, Dr. Nur Fariha Mohd Noor yang mengalu-alukan kedatangan delegasi POSESO ke UUM.

Dalam ucapannya, Dr. Nur Fariha menekankan kepentingan pelajar membentuk minda penggerak, iaitu bersikap proaktif dalam melaksanakan peranan kepimpinan dan tidak sekadar menunggu arahan.

Sementara itu, Penasihat POSESO, Dr. Jeniboy Kimpah yang menzahirkan penghargaan atas penerimaan kunjungan delegasi serta menekankan kepentingan jalinan kerjasama strategik antara universiti dalam memperkasa pembangunan kepimpinan pelajar.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian amalan terbaik oleh wakil pelajar BPMSOC yang berkongsi pengalaman serta pendekatan pengurusan persatuan.

Program kemudian diperkukuh melalui pelaksanaan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK), riadah petang, serta sesi refleksi yang memberi ruang kepada peserta menilai pengalaman pembelajaran secara menyeluruh dan bermakna.

Pengarah Program, Aemmyllia Ellisya Stephen berkata, penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti interaktif dan kolaboratif sepanjang program ini dijangka dapat memupuk kemahiran komunikasi, kepimpinan serta kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Menurutnya, program ini turut secara langsung mendokong Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti khususnya dalam aspek penglibatan komuniti luar dan pemindahan ilmu selain memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan jaringan antara institusi dalam membina ekosistem pembelajaran yang dinamik dan berdaya saing.

Pelaksanaan program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, malah membuka ruang kerjasama berterusan antara BPMSOC UUM dan POSESO UMT pada masa hadapan. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform pembangunan holistik pelajar selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara. – Dr. Nur Fariha Mohd Noor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button